Selasa, 30 Mei 2017 | 10:58pm

Skuad bomba di semua sekolah tahfiz: Noh Omar

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar (kanan) melakukan gimik pelancaran Skuad Bomba Tahfiz Peringkat Negeri Selangor di Masjid Jamiul Hasanat, Tanjong Karang hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar (kanan) melakukan gimik pelancaran Skuad Bomba Tahfiz Peringkat Negeri Selangor di Masjid Jamiul Hasanat, Tanjong Karang hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

TANJONG KARANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan semua sekolah tahfiz di seluruh negara menubuhkan skuad bomba menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan skuad sedemikian wajar dikembangkan di semua sekolah agama, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebakaran dalam kalangan pelajarnya selain menyediakan mereka sebagai pasukan bertindak awal menangani kebakaran.

Noh berkata, kajian yang dijalankan pihak berkuasa mendapati kebanyakan kebakaran berlaku di sekolah agama di seluruh negara disebabkan kekurangan kesedaran mengenai keselamatan menangani kebakaran selain premis yang tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Statistik oleh JBPM juga menunjukkan jumlah kebakaran di sekolah agama dan madrasah tahfiz semakin meningkat saban tahun.

"Tiga bulan pertama tahun ini menyaksikan 30 daripada 1,785 kes kebakaran membabitkan sekolah tahfiz, sekolah pondok dan madrasah dengan jumlah kerugian melebihi RM1.4 juta.

"Dengan penubuhan Skuda Bomba Tahfiz oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, dan hari ini, kita ada 30 sekolah tahfiz di Selangor yang menyertai Program Skuad Bomba Tahfiz. Kami akan ke negeri sebelah Pantai Timur selepas ini diikuti negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Bomba Tahfiz Selangor di Masjid Jamiul Hasanat di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Terdahulu, Noh menyampaikan sijil dan kit bantuan kecemasan kepada 300 pelajar daripada 30 sekolah tahfiz di seluruh Selangor.

Beliau juga mengumumkan setiap sekolah agama di Selangor yang menyertai inisiatif itu akan menerima peruntukan RM5,000.

Noh berkata, beliau tidak mahu insiden pada tahun 1989 yang menyaksikan 27 pelajar perempuan di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimah di Sik, Kedah terbunuh dalam kebakaran di sekolah berkenaan, berulang.

Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata, peserta akan menerima latihan selama dua minggu oleh pegawai bomba, termasuk pengurusan dan pencegahan kebakaran, cara menggunakan alat pemadaman kebakaran, bantuan kecemasan serta cara menyelamatkan diri serta rakan sebelum kebakaran merebak.

Berita Harian X