Rabu, 24 Mei 2017 | 1:11pm

Kumpulan Media Prima sertai #QuranHour


PENGARAH Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub
- Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Sebanyak 10 rakan media bakal menyertai Program 'Sejam bersama Al-Quran', Malaysia #QuranHour pada 19 Jun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. 

Media terbabit ialah Kumpulan Media Prima bersama akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian (BH), Harian Metro (HM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, BERNAMA,  Utusan Malaysia, Kosmo! dan Sinar Harian yang akan bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, yakin sinergi itu akan memberi impak lebih besar berbanding tahun lalu.

"Setiap media mempunyai peranan dan kekuatan masing-masing. Apabila kita bergabung dan melaksanakan kempen Malaysia #QuranHour, ia dapat melahirkan sebuah gelombang besar.

"Ini bukan acara tetapi kempen mengajak orang ramai meluangkan masa bersama al-Quran, " katanya selepas pertemuan bersama wakil media di sini.

Husamuddin berkata, ini adalah tahun ketiga pelaksanaan Malaysia #QuranHour atau sebelum ini dikenali sebagai #Malaysia Ngaji dan sasarannya kepada semua rakyat dalam serta luar negara.

Beliau berkata, pelaksanaan tahun kedua Malaysia #QuranHour tahun lalu menjadi viral di media sosial dan mendapat 27 juta perhatian.

Katanya, inisiatif menggalakkan orang ramai membaca al-Quran diteruskan dengan World #QuranHour pada 31 Ogos bersamaan 9 Zulhijah bagi mengambil momentum 10 hari terawal bulan Islam berkenaan.

"Tahun ini kami bawakan tema Malaysia #QuranHour iaitu Bangsa Berbudi dan Penyayang kerana mengambil sebahagian besar isi al-Quran mengenai nilai kasih sayang, belas kasihan, perikemanusiaan, kebaikan dan cinta serta prihatin sesama manusia," katanya.

Berita Harian X