Rabu, 24 Mei 2017 | 1:04pm

NKEA E&E capai 89 peratus sasaran 2016

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 107 projek elektrik dan elektronik (E&E) dengan pelaburan bernilai RM9.2 bilion, melebihi sasaran tahunan sebanyak RM6 bilion.

Daripada 107 projek itu, 17 adalah projek baharu dengan pelaburan berjumlah RM1.5 bilion, manakala 90 lagi projek pembesaran dan pelbagaian yang bernilai RM7.7 billion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebahagian besar pelaburan E&E disumbangkan pelaburan asing mewakili RM7.9 bilion (86 peratus), manakala pelaburan domestik RM1.3 bilion (14 peratus).

Kebanyakan pelaburan berkenaan membabitkan kegiatan pembesaran dan pelbagaian dalam pembuatan produk LED, peralatan rumah dan sel serta wafer solar.

Industri E&E terus menjadi penggerak utama ekonomi Malaysia dan kekal sebagai pemacu penting dalam perkembangan perindustrian negara kita meskipun pertumbuhan perdagangan dan ekonomi global masih lemah.

Sektor itu terus memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport, pelaburan dan peluang pekerjaan.

Sejak 2011, sebanyak 455 projek bernilai RM54 bilion diluluskan yang mana 356 bernilai RM40.6 bilion berjaya dilaksanakan.

Eksport sumbang 44.6 peratus

Semua projek itu memberi kesan positif kepada eksport produk E&E, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus kepada RM287.7 bilion pada 2016.

Eksport E&E Malaysia menyumbang 44.6 peratus kepada jumlah eksport negara tahun lalu.

Pertambahan permintaan pasaran untuk penggunaan aplikasi Internet Kebendaan (IOT) dalam bidang komunikasi tanpa wayar dan peranti boleh dipakai jelas menunjukkan kejayaan usaha kami melalui NTP dalam menghasilkan produk inovatif bernilai tinggi.

Disebabkan hasil usaha itu, NKEA E&E berjaya mencapai 89 peratus daripada sasaran yang ditetapkan pada hujung tahun 2016 dan ini pasti akan mencapai sasaran keseluruhan menjelang tahun 2020.

MITI yakin inisiatif sedia ada di bawah NKEA bersama dengan penekanan yang berterusan kepada inovasi mampu memacu Malaysia dalam mencapai sasaran untuk 2020.

Berita Harian X