Rabu, 24 Mei 2017 | 12:10pm

Sekolah dicadang wujud dasar perlindungan kanak-kanak

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (tiga dari kanan) diiringi Presiden JEWEL, Woo Sow Pheng (empat dari kanan) melancarkan Kempen TinDAK anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyarankan pihak sekolah supaya mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak bagi melindungi hak dan keselamatan golongan itu.

Raja Zarith Sofiah bertitah, perlu ada dasar perlindungan kanak-kanak sebagai garis panduan yang jelas bagi menangani penderaan seksual terhadap mereka yang sering menjadi sasaran.

"Statistik penderaan seksual kanak-kanak yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 984 kes pada 2014 manakala 978 kes (2015) dan 1,034 kes pada 2016.

"Kes itu meliputi eksploitasi seksual iaitu mendedahkan kanak-kanak pada bahan lucah di internet, memaksa melakukan hubungan sulit selain mendedahkan kanak-kanak kepada bahan lucah seperti filem dan menjadikan mereka sebagai objek bahan pornografi," titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Kempen TinDAK (Tindak Demi Anak Kita) di sini hari ini.

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (lima dari kanan) diiringi Presiden JEWEL, Woo Sow Pheng (enam dari kanan) melancarkan Kempen TinDAK anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Raja Zarith Sofiah bertitah, kesedaran orang ramai terhadap penderaan seksual kanak-kanak dan cara melindungi mereka daripada sebarang ancaman jenayah adalah mustahak.

Justeru, baginda menyeru semua komitmen semua pihak dalam usaha mencegah dan membasmi jenayah seksual kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang perlu dipandang serius.

"Diharap Kempen TinDAK ini dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan terhadap ibu bapa, serta orang dewasa terhadap aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dengan lebih mendalam.

"Marilah kita sama-sama berusaha berganding bahu ke arah usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran bukan saja dalam kalangan ibu bapa dan guru tetapi semua peringkat untuk merealisasikan usaha murni ini, " titah baginda.

Kempen yang dilaksanakan di seluruh negeri ini dianjurkan Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) dengan sokongan Jabatan Pembangunan Wanita Johor.

Berita Harian X