Ahad, 21 Mei 2017 | 5:46pm

Sokongan peminat kuatkan semangat Ben Nathan

BEN Nathan pada Konsert Kasih dan Harapan Ben Nathan di Saloma Bistro. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Gugup selepas lama tidak muncul di pentas, Ben Nathan beroleh kekuatan sebaik mendapat dorongan peminat yang mahu melihatnya beraksi pada Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan di Saloma Bistro di sini, yang berakhir, sebentar tadi.

Diiringi tepukan dan sorakan peminat, Ben penyanyi era 80an yang kembali bersemangat, menyampaikan lagu Tak Mungkin, Ilusi Satu Penantian dan dendangan popularnya, Stanza Sepi Sekeping Hati.

"Saya hanya ada empat hari untuk berlatih dan menghafal lirik. Walaupun tempoh agak singkat, tapi saya berikan komitmen padu untuk konsert ini.

"Ketika naik ke pentas, saya sedikit kaku kerana sudah lama tidak membuat persembahan. Tetapi sokongan semua yang hadir memberi semangat untuk saya membuat persembahan," katanya ketika ditemui BH Online sejurus konsert berakhir.

Ben terharu dengan sokongan peminat dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak. Bukan saja peminat, malah kehadiran anggota keluarganya juga menjadikan acara itu lebih bermakna.

Konsert dua jam itu turut menampilkan Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Nash, Fredo, Ramlah Ram, Sahara Yaacob, Aris Ariwatan dan Maisarah Ukulele.

Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan diilhamkan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir. Ia dianjurkan Jojo Events dengan kerjasama Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M).

Berita Harian X