Khamis, 18 Mei 2017 | 8:16pm

ABPBH 3.0 cecah 5.2 juta penonton

Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2017, Fattah Amin bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Aziah Azmee
Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2017, Fattah Amin bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 mencatat jumlah tontonan tertinggi 5.2 juta orang (12.9 TVR) ketika bersiaran secara langsung menerusi TV3, 14 Mei lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan stesen televisyen berkenaan hari ini, sebanyak 46.3 peratus syer penonton atau purata 2.7 juta orang mengikuti siaran langsung acara yang bertemakan Futuristik itu dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Jumlah berkenaan diperoleh berdasarkan kajian dilakukan Nielsen Audience Measurement.

Acara Karpet Merah ABPBH 3.0 yang disiarkan secara langsung di TV9 dari jam 8.30 malam hingga 9 malam meraih jumlah penonton tertinggi 1.5 juta orang (3.7 TVR) dengan purata 800,000 penonton atau 12.7 peratus syer penonton.

Selain menonton secara langsung di TV3, keseluruhan acara yang bermula dengan Karpet Merah itu dapat ditonton menerusi laman web rasmi ABPBH 3.0 iaitu www.abpbh.com.my dan melalui penstriman definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Lebih 42,000 penonton menyaksikan ABPBH 3.0 secara dalam talian di laman web rasmi, manakala 66,000 tontonan lagi dicatat menerusi tontonan di laman sesawang Tonton dari seluruh dunia. Siaran langsung di laman Facebook Tonton pula diikuti seramai 46,000 penonton.

Di laman sosial Twitter, #abpbh30 menjadi topik perbualan di seluruh Malaysia sehingga trending pada kedudukan pertama.

Ahad lalu, Fattah Amin dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular bagi edisi ke-30 anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu, selain merangkul trofi Pelakon TV Lelaki Popular.

Beliau juga memenangi dua kategori online iaitu Artis Sensasi dan Gandingan Serasi Drama bersama Neelofa menerusi Suri Hati Mr Pilot.

Pemenang lain bagi kategori utama pada malam berkenaan ialah Janna Nick, Neelofa, Zul Ariffin, Fazura, Khai Bahar, Sweet Qismina, Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Ifa Raziah, Radin dan Zizan Razak.

Bagi kategori online pula, trofi turut dibawa pulang oleh Syamsul Yusof dan Nabila Huda, serta Makhlokmacho.

Acara kemuncak ABPBH 3.0 berlangsung dalam suasana penuh gemilang dengan diacarakan oleh Fauziah Ahmad Daud, Faizal Ismail dan Zulin Aziz.

Berita Harian X