Khamis, 18 Mei 2017 | 6:30pm

Tanah runtuh di Bukit Song

LALUAN Pan Borneo di Bukit Song dekat Taman Negara Lambir di Miri, runtuh selepas hujan lebat petang tadi. - Foto ihsan bomba

MIRI: Separuh laluan Pan Borneo di kawasan Bukit Song dekat Lambir di utara Sarawak ditutup, susulan kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat petang tadi.

Berikutan itu, semua pengguna yang menggunakan laluan berhampiran bandar raya Miri itu, dinasihatkan mengambil langkah berwaspada.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Miri, Thomas Bigau, berkata kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku jam 3.33 petang tadi dan membahayakan pengguna yang melalui lokasi itu.

"Justeru, papan tanda dan tali penanda keselamatan sudah diletakkan di kawasan berkenaan untuk memaklumkan pengguna supaya mengambil langkah berjaga-jaga," katanya, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan turut dikerah mengawal lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Berita Harian X