Khamis, 18 Mei 2017 | 1:22pm

Celcom tawar 5G pertama di Asia Tenggara

Celcom Axiata Bhd memulakan langkah penawaran rangkaian 5G dan menjadi penyedia pertama rangkaian itu di Asia Tenggara dan Malaysia menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Kuehner, berkata rangkaian 5G itu bakal memberikan pengguna kelajuan data sehingga 400 megabit sesaat (Mbps).

Beliau berkata, pelaksanaan rangkaian 5G kelak mewujudkan peluang besar bagi syarikat telekomunikasi menghadapi industri digital dengan potensi hasil diunjurkan berjumlah AS$582 bilion menjelang 2026.

"Peluang terbesar wujud dalam sektor pengilangan dan tenaga dari segi hasil yang dicipta atau ditambah baik oleh rangkaian 5G.

"Lantaran itu kami komited membangunkan dan meneruskan evolusi rangkaian dengan teknologi terkini, membawakan pengalaman digital terbaik kepada pengguna.

"Teknologi 5G sangat penting kepada kami, kerana ia menyokong pembangunan dan memenuhi keperluan komunikasi pengguna dan pendigitalan pelbagai industri. Seharusnya teknologi generasi baharu sebegini diteroka," katanya selepas majlis ujian 5G pertama di Menara Celcom semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Ketua Eksekutif Sektor Komunikasi, Perkhidmatan Digital dan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; Presiden Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Azwan Khan Osman Khan.

Kuehner berkata, pihaknya merintis evolusi teknologi komunikasi negara dengan melaksanakan ujian 5G pertamanya yang dilaksanakan atas jalur 28Ghz di Asia Tenggara.

Beliau berkata, ujian menggunakan prototaip radio 5G itu mencapai daya pemprosesan sehingga 18 gigabit sesaat (Gbps) dan tahap kependaman serendah tiga milisaat (ms).

"Kami juga menjalankan ujian untuk menunjukkan contoh penggunaan 5G di masa depan seperti kawalan robotik, connected environment, realiti maya, penyelesaian internet kebendaan (IoT) dan video 4K menerusi 5G.

"Pelaksanaan rangkaian 5G ini hasil kerjasama dengan Ericsson bagi merintis jalan menjalin pakatan meneroka peluang 5G dan IoT di Malaysia," katanya.

Berita Harian X