Khamis, 18 Mei 2017 | 12:04pm

Monaco sah juara Ligue 1

PEMAIN AS Monaco meraikan kejayaan mereka menjuarai Ligue 1 buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun. - Foto AFP

PARIS: AS Monaco mengesahkan gelaran juara Ligue 1 buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun yang turut mengakhiri penguasaan Paris St Germain (PSG) sejak empat tahun lalu selepas menumbangkan St Etienne 2-0, awal pagi tadi.

Pada perlawanan itu, Monaco hanya memerlukan keputusan seri untuk mendakap kejuaraan namun gol Kylian Mbappe dan Valere Germain di Stade Louis II memastikan pengesahan awal biarpun mereka berbaki satu lagi perlawanan.

Dua gol berkenaan menyaksikan Monaco sudah mengumpul 104 gol pada musim ini, selain mencipta jurang empat mata dengan PSG yang menghuni tangga kedua liga.

Skuad Leonardo Jardim mula membina kejayaan musim ini dengan gandingan hebat di barisan depan yang diketuai Mbappe dan Radamel Falcao.

Selain itu, prestasi hebat pemain tengah, Fabinho, pertahanan Djibril Sidibe dan Benjamin Mendy yang turut mempamer aksi baik di depan gol berjaya menambah sengat kelab berkenaan di jentera serangan.

Kejayaan itu meletakkan Monaco di kedudukan ketiga dalam senarai juara Ligue 1 paling banyak bersama Nantes dengan lapan kejuaraan, di belakang Etienne, 10 kali dan Olympique Marseille (9). - REUTERS

Berita Harian X