Rabu, 17 Mei 2017 | 10:18pm

TN50: 400 penggiat seni berdialog bersama PM

DATUK Seri Najib Razak berucap pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Segmen Penggiat Seni di Dewan Bankuet, Seri Perdana. Turut hadir, Datuk Rosyam Nor. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Najib Razak berucap pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Segmen Penggiat Seni di Dewan Bankuet, Seri Perdana. Turut hadir, Datuk Rosyam Nor. - Foto Asyraf Hamzah

Putrajaya: Karyawan dan penggiat seni negara tidak harus dipinggirkan sebaliknya kedudukan mereka perlu diletakkan dalam arus perdana negara terutama menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penggiat seni bukan setakat penghibur tetapi boleh memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara bukan sahaja daripada sudut memajukan industri kreatif dan hiburan.

Katanya, jika mahu membentuk rupa bangsa dan membina nilai sikap serta budaya, sudah tentu ia bergantung pada penggiat seni terutama pelakon, penyanyi, pelawak dan pekerja industri hiburan.

"Penggiat seni boleh dijadikan idola dan ikutan. Jika penggiat seni mampu menjadi ikutan, mereka boleh bantu membentuk generasi akan datang untuk mengangkat martabat negara dan seterusnya dijadikan aspirasi negara.

"Pendekatan aspirasi negara sudah berubah dan era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir di mana kini sudah tiba rakyat berkongsi minda dan aspirasi rakyat untuk membina kebersamaan antara kerajaan, " katanya pada sesi Dialog TN50 Perdana Menteri bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak serta Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Lebih 400 artis, karyawan dan penggiat seni tanah air hadir pada program dialog berkenaan dengan sesi dialog dikendalikan pelakon, Datuk Rosyam Nor.

Dalam pada itu, Najib berkata, dialog dan sesi bersama Perdana Menteri ini mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mengumpulkan begitu ramai penggiat seni dalam satu majlis.

Program diadakan bertujuan mendengar sebarang isu berbangkit berkaitan industri selain aspirasi dan harapan penggiat seni bagi tiga dekad akan datang menjelang TN50.

Antara artis dan penggiat seni ternama yang hadir termasuklah Datuk Yusof Haslam, Datuk D J Dave, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Norman Abd Halim, Datuk Nash, Nora Danish, Harith Iskander, Johan Rajalawak dan Zizan.

Pelakon, Elfira Loy berkata, beliau sebagai pelakon generasi muda mahu supaya kaedah dan garis panduan tertentu diwujudkan bagi membolehkan artis terus maju dalam industri.

Bagi pelakon yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, Rahim Jailani mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Penggiat Seni supaya kebajikan artis veteran diberi perhatian terutama soal perumahan dan perubatan.

Penerbit drama, Datuk Ziela Jalil, berkata beliau berharap industri seni negara tidak terus di takuk lama, sebaliknya mahu melihat kemajuan selain nilai tambah dilakukan dalam apa sahaja cabang seni.

Berita Harian X