Selasa, 16 Mei 2017 | 2:46pm

414 individu ditahan rasuah tahun ini

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil. - Foto Hafizudin Mohd Safar
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil. - Foto Hafizudin Mohd Safar

PUTRAJAYA: Sebanyak 414 tangkapan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun ini, sehingga minggu lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata daripada jumlah itu, 191 individu adalah penjawat awam termasuk 13 pengurusan tertinggi, 44 individu pengurusan profesional dan selebihnya kumpulan pelaksana.

"Dalam tempoh tiga tahun sehingga 2020, kita akan memberi tumpuan untuk 'membersihkan' perkhidmatan awam daripada rasuah, sejajar usaha memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah yang mana fokusnya adalah rasuah dalam sektor awam.

"Kita mahu letakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita mengenepikan sektor lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) antara SPRM dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Perhimpunan Bulanan KPKT di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mentek.

Shamsun Baharin berkata, KPKT adalah kementerian ke-11 menandatangani IBR dan beliau berharap lebih banyak kementerian berbuat demikian.

"Apa yang penting adalah tindakan (memerangi rasuah). Jika adalah majlis IBR tapi tidak ada tindakan juga tidak akan bermakna," katanya.

Berita Harian X