X
Sabtu, 13 Mei 2017 | 6:21pm

PAS Kedah tiada ketetapan hubungan dengan PKR negeri

DR Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi (kiri) puji pencapaian PAS pada PRU14. - Foto AMRAN HAMID
DR Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi (kiri) puji pencapaian PAS pada PRU14. - Foto AMRAN HAMID

ALOR SETAR: PAS Kedah mengakui tidak mempunyai sebarang ketetapan mengenai tindakan Majlis Syura Ulama PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, berkata pihaknya menyerahkan kepada pusat mengenai perkara terbabit yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas tidak lama lagi.

"Mesyuarat itu akan diadakan dalam tempoh terdekat, sebarang keputusan yang bakal diputuskan dalam mesyuarat khas itu, PAS Kedah akan akur.

"Kami tidak ada apa-apa ketetapan, di sana (PAS pusat) sudah tidak ada hubungan politik antara PAS dengan PKR," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini.

Pada Khamis lalu, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dengan serta-merta.

Keputusan itu dibuat berikutan PKR didakwa melanggar tiga perkara termasuk menentang Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965 (RUU 355) yang dibawa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, PAS Kedah sudah menyenaraikan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen, namun belum memuktamadkan jumlah kerusi untuk dipertandingkan.

Ahmad Fakhruddin berkata, senarai itu sudah dihantar kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X