Sabtu, 13 Mei 2017 | 2:25pm

Piala FA: Tiket aksi NS, Tok Gajah habis dijual

SEBAHAGIAN penyokong yang hampa selepas gagal dapatkan tiket selepas habis dijual. - Foto Mohd Amin Jalil
SEBAHAGIAN penyokong yang hampa selepas gagal dapatkan tiket selepas habis dijual. - Foto Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Hasrat sebahagian penyokong setia Negeri Sembilan untuk menyaksikan aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Negeri Sembilan dan Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini malam ini, tidak kesampaian apabila tiket habis dijual, sebentar tadi.

Notis menyatakan tiket berkenaan habis dijual ditampal di kaunter jualan bagi memaklumkan kepada orang ramai.

Ketika tinjauan, terdapat sekurang-kurangnya 30 orang sedang berada di situ dalam keadaan hampa.

Seorang penyokong skuad Hobin Jang Hobin, Mohd Razali Alias, 24, dari Jempol yang ditemui berkata, dia tidak sempat untuk membeli lebih awal tiket perlawanan itu kerana kesibukan tugas.

"Saya tiba di sini bersama tiga rakan lain kira-kira jam 11 pagi tadi dengan harapan dapat membeli tiket, tapi notis menyatakan tiket sudah habis dijual.

"Sepatutnya saya membelinya lebih awal tetapi tidak berkesempatan. Jadi sekarang ini ami mungkin terpaksa menyaksikan perlawanan malam nanti menerusi kaca tv," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Negeri Sembilan, Satwant Singh berkata, secara keseluruhan sebanyak 38,500 tiket habis dijual sejak kaunter mula dibuka pada Rabu lalu.

Katanya, masih terdapat baki daripada keseluruhan jumlah tiket berkenaan dijual bermula jam 10 pagi tadi dan habis dalam tempoh 45 minit.

"Kami sudah membuka kaunter tiket sejak Rabu bagi memberi peluang peminat mendapatkan tiket lebih awal. Jadi mereka yang terlepas kita tidak boleh membantu," katanya.

Harga sekeping bagi tiket perlawanan ini ditetapkan RM10 untuk dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak untuk tempat duduk terbuka, manakala RM20 serta RM10 bagi tempat duduk berbumbung.

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati terdapat segelintir individu cuba mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan menjual tiket perlawanan pada harga berkali ganda dari asal.

Beberapa penonton yang ditemui di situ, memaklumkan ada kalangan pihak berkenaan berani menjual tiket berharga RM10 itu kepada antara RM50 sehingga RM80 sekeping.

Negeri Sembilan bakal membuat perhitungan terakhir dengan Pahang pada perlawanan itu malam ini yang akan bermula jam 9 malam.

Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi boleh memuatkan sehingga 45,000 dalam satu masa.

Berita Harian X