Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:43am

Hamilton terpantas ujian bebas GP Sepanyol

LEWIS Hamilton semasa sesi latihan kedua di Litar de Catalunya Barcelona-di Montmelo. - Foto EPA
LEWIS Hamilton semasa sesi latihan kedua di Litar de Catalunya Barcelona-di Montmelo. - Foto EPA

BARCELONA: Lewis Hamilton mengekalkan penguasaan Mercedes AMG PETRONAS apabila mengungguli kedua-dua sesi ujian bebas Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini.

Juara dunia tiga kali itu mencipta kebangkitan selepas prestasinya tampak merudum apabila menamatkan perlumbaan di GP Russia di tangga keempat ketika rakan sepasukan, Valtteri Bottas merangkul kemenangan pertama kariernya di Sochi.

Hamilton merakam masa terpantas pada sesi pagi sebelum melakukannya sekali lagi dengan catatan terbaik 1 minit 20.802 saat (s), 0.090s lebih pantas berbanding Bottas.

Kimi Raikkonen mencatat masa ketiga terpantas bersama Ferrari manakala rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan dunia, Sebastian Vettel keempat.

Hari yang berangin di Litar Catalunya mencipta banyak masalah buat kebanyakan pelumba dengan pemenang tahun lalu, Max Verstappen dari pasukan Red Bull mencatat masa kelima terpantas diikuti rakan sepasukan, Daniel Ricciardo.

Ramai pelumba keluar untuk meninjau keadaan litar termasuk Vettel, Verstappen, Bottas dan pemandu Haas, Romain Grosjean.

"Keadaan amat menyulitkan hari ini," kata Raikkonen. "Licin dan tidak mudah."

Pelumba Renault, Nico Hulkenberg merakamkan masa ketujuh terpantas diikuti rakan sepasukan Jolyon Palmer, pelumba Brazil dan Williams, Felipe Massa dan pelumba Sepanyol, Carlos Sainz dari Toro Rosso.

Juara dunia dua kali dan pelumba tuan rumah, Fernando Alonso terlepas keseluruhan sesi di sebelah pagi susulan kegagalan enjin namun kembali memanaskan litar pada baki 30 minit sesi kedua untuk sekadar melakukan masa ke-20 terpantas.

Rakan sepasukan dari McLaren, Stoffel Vandoorne mencatatkan masa ke-13 terpantas namun sesi ujian kali ini lebih banyak dihabiskan bagi menilai prestasi jentera. - AFP

Keputusan sesi ujian bebas GP Sepanyol

1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes 1:20.802 saat (s)

2. Valtteri Bottas (FIN) Mercedes 1:20.892s

3. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1:21.112s

4. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1:21.220s

5. Max Verstappen (NED) Red Bull 1:21.438s

6. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull 1:21.585s

7. Nico Hülkenberg (GER) Renault 1:21.687s

8. Jolyon Palmer (GBR) Renault 1:21.992s

9. Felipe Massa (BRA) Williams 1:22.015s

10. Carlos Sainz Jr (ESP) Toro Rosso 1:22.265s

11. Romain Grosjean (FRA) Haas 1:22.371s

12. Estéban Ocon (FRA) Force India 1:22.520s

13. Stoffel Vandoorne (BEL) McLaren-Honda 1:22.693s

14. Sergio Perez (MEX) Force India 1:22.722s

15. Kevin Magnussen (DEN) Haas 1:23.007s

16. Marcus Ericsson (SWE) Sauber 1:23.082s

17. Lance Stroll (CAN) Williams 1:23.221s

18. Daniil Kvyat (RUS) Toro Rosso 1:23.236s

19. Pascal Wehrlein (GER) Sauber 1:23.599s

20. Fernando Alonso (ESP) McLaren-Honda 1:24.077s

Berita Harian X