Jumaat, 12 Mei 2017 | 6:56pm

2 beranak maut nahas 3 kereta

KERETA yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Simpang Pertang-Simpang Durian, Jelebu, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
KERETA yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Simpang Pertang-Simpang Durian, Jelebu, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

KUALA KLAWANG: Dua beranak maut manakala tiga lagi termasuk seorang kanak-kanak, cedera dalam kemalangan tiga kereta di Jalan Simpang Pertang-Simpang Durian di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang tadi, dua beranak yang maut adalah seorang wanita berusia 60 tahun dan anak lelakinya berusia 29 tahun yang juga pemandu Proton Iswara.

Tiga yang cedera ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menaiki Proton Iswara, manakala dua lelaki berusia 27 dan 57 tahun yang berada dalam Perodua Alza.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Abdul Ghani, berkata lima orang berusia antara dua sehingga 60 tahun yang menaiki Proton Saga BLM tidak mengalami kecederaan.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang dan dua jentera bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di situ pada jam 4.50 petang, anggota bomba mendapati semua mangsa masih berada dalam kenderaan masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ismail berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Jelebu di sini.

Berita Harian X