Jumaat, 12 Mei 2017 | 3:33pm

Janna kenang jasa Sheila Rusly

PELAKON dan penyanyi, Janna Nick. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Janna Nick menganggap pilihan untuk menerajui drama Syurga Nur terbitan JS Pictures dua tahun lalu sebagai keputusan paling tepat apabila ia melonjakkan namanya di arena hiburan.

Katanya, ketika itu dirinya berbelah bagi apabila diajukan dua tawaran serentak namun selepas pertimbangan, dia memilih drama terbitan Sheila Rusly dan suaminya walau dimomokkan pelbagai cerita.

"Dalam membuat pertimbangan antara dua judul, saya sebenarnya lebih teruja untuk berlakon Syurga Nur yang juga terbitan JS Pictures biarpun ramai membisikkan mengenai sikap garang dan tegas Kak Sheila (Rusly).

"Kali pertama saya dapat tawaran berlakon daripadanya. Memang berbelah bahagi namun akhirnya saya nekad memilih Syurga Nur. Dalam hati saya tegaskan apa saja bakal dilalui di lokasi penggambaran, saya perlu hadapi," katanya kepada BH Online.

Populariti Syurga Nur terus menjadi batu loncatan hingga namanya dikenali ramai dan seterusnya Janna semakin kerap membintangi produk JS Pictures termasuk Kau Aku Kita dan Anakku Diva.

"Hakikatnya, kemaraan saya dalam industri seni adalah bertitik tolak daripada peluang dibuka Kak Sheila dan hingga ke hari ini saya sentiasa kenang jasanya," katanya yang turut berada dalam senarai finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-30.

Janna yang kini melunaskan pembikinan drama berjudul Dhia dengan Irwansyah dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular bersaing bersama Neelofa,Ayda Jebat, Mira Filzah dan Mia Ahmad.

Sementara itu, malam kemuncak ABPBH 30 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 9 malam.

Berita Harian X