X
Selasa, 9 Mei 2017 | 3:34pm

'Datuk Nadim' tak mengaku menipu

 TERTUDUH, Abdul Mudtalib Ismail (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu menawarkan pelaburan syarikat minyak sawit mentah tidak wujud di Mahkamah Majistret, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
TERTUDUH, Abdul Mudtalib Ismail (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu menawarkan pelaburan syarikat minyak sawit mentah tidak wujud di Mahkamah Majistret, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menerusi skim pelaburan minyak sawit mentah (CPO), Mac tahun lalu.

Abdul Mudtalib Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut pertuduhan, Abdul Mudtalib yang turut dikenali sebagai 'Datuk Nadim' bersama seorang lagi yang masih bebas, menipu Basir Abdul Talib, 47, dengan menawarkan pelaburan menerusi Syarikat CPO Resources yang tidak wujud.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM82,039 ke dalam akaun CIMB milik Syarikat Seri Wiramas Enterprise sebelum dipindahkan ke akaun CIMB CPO Resources di Jalan Perdana 1, Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, antara 11 hingga 28 Mac tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam dan Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, yang memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk S Arumugam, merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000.

Nor Azizah kemudian menawarkan jaminan RM10,000 selain menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X