Ahad, 7 Mei 2017 | 12:30pm

Tentera dikerah kawal banjir di Kanada


ANGGOTA polis meronda menaiki bot di kawasan banjir di Rigaud, Quebec. - Foto Reuters

OTTAWA: Tentera Kanada mula mengerahkan anggotanya ke timur negara itu selepas hujan berterusan mengakibatkan banjir dan memaksa penduduk dipindahkan berikutan keadaan diramal akan bertambah buruk pada Isnin atau Selasa.

Paras air terus meningkat dari Toronto dan Tasik Ontario sehingga 500 kilometer ke hilir Sungai St Lawrence, terutama di wilayah Quebec, di mana kira-kira 400 tentera dihantar.

Pemimpin Quebec, Philippe Couillard semalam turut memberi amaran bahawa keadaan diramal semakin buruk.

"Paras air akan terus meningkat dalam tempoh dua atau tiga hari lagi," katanya selepas melawat bandar Rigaud, timur Montreal yang lebih seminggu ditenggelami air.

Kerajaan mula mengerahkan tentera sejak Jumaat.

Difahamkan hujan lebat berterusan mencairkan salji dan menyebabkan air sungai melimpah ke tebing, dan mencetuskan keadaan yang kritikal dari Ottawa ke Montreal.

Quebec menjadi wilayah paling teruk terjejas apabila lebih 1,500 rumah ditenggelami air di 121 pekan dan bandar manakala hampir 1,000 orang terpaksa dipindahkan, kata perkhidmatan kecemasan. - AFP

Berita Harian X