Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:47pm

Mourinho beri dua khabar gembira buat Wenger


Pengurus Manchester United, Jose Mourinho (kiri) dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger. - Foto Reuters

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan dia sudah melupakan permusuhan dengan seteru lamanya, Arsene Wenger.

Malah, dia percaya pengurus Arsenal itu akan tambah gembira apabila United hanya akan menurunkan pasukan lemah apabila kedua-dua pasukan bertemu untuk aksi saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok.

Kedua-dua individu berkenaan mempunyai sejarah buruk dengan Mourinho menyifatkan Wenger sebagai 'pakar kegagalan'.

Bagaimanapun, bos United itu mendedahkan mereka bersalaman yang tidak dirakamkan kamera ketika kedua-dua pasukan seri di Old Trafford, November lalu dan dia kini menyifatkan perkara itu sudah berakhir.

"Tidak perlu untuk berdamai kerana tiada sebarang masalah yang wujud. Dalam perlawanan terakhir di Old Trafford, kami bersalaman sebelum dan selepas perlawanan.

"Saya masih lagi ingat yang saya bertemu dengannya di koridor untuk sidang media dan kami bersalaman sekali lagi.

"Di mana-mana ada kedamaian, kita tidak perlu mencari masalah. Saya sudah dewasa dan bola sepak adalah hidup saya. Saya tahu masalah di atas padang tetapi keesokkan harinya ia bukan lagi masalah...jadi ia bukan masalah," kata Mourinho.

Mourinho sebelum ini secara terbuka menegaskan, peluang United untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas liga berakhir minggu lalu apabila sekadar seri dengan Swansea City di laman sendiri.

Dia berjanji untuk lebih 'berperikemanusiaan' terhadap pemainnya yang diturunkan dalam perlawanan ke-58 United musim ini berdepan Celta Vigo, awal pagi semalam dan akan melakukan pertukaran menentang Arsenal.

Mourinho berkata, beliau tidak boleh memperjudikan peluang United untuk mara ke final Liga Europa dalam pertemuan kedua dengan Celta, bagi mempertahankan kelebihan kemenangan 1-0 yang diraih ketika aksi pertama.

"Dia (Wenger) akan lebih gembira dengan saya apabila saya akan melakukan pertukaran dalam kesebelasan utama menentang Arsenal. Kita perlu ada sikap perikemanusiaan terhadap pemain.

"Kami perlu peka dengan situasi kami dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Perlawanan dengan Swansea adalah peluang terakhir kami bagi bersaing merebut tempat empat teratas...jadi saya akan rehatkan pemain saya," kata Mourinho.

Berita Harian X