Jumaat, 5 Mei 2017 | 10:44pm
 SERAMAI 62 pendaki negara yang berjaya melepasi cabaran pendakian ke Kem Induk Annapurna (ABC), Nepal setinggi 4,130 meter, pada 1 Mei lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah
SERAMAI 62 pendaki negara yang berjaya melepasi cabaran pendakian ke Kem Induk Annapurna (ABC), Nepal setinggi 4,130 meter, pada 1 Mei lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Peserta Pendakian Annapurna tiba di tanah air

SEPANG: Peserta pendakian cabaran Annapurna 2017 di Nepal, termasuk tiga warga BH, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8 malam tadi selepas berjaya menamatkan misi terbabit.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, untuk membawa 62 peserta bagi mendaki gunung yang tinggi bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi apabila menggabungkan pengamal media dengan rakan bomba dan kakitangan Kementerian Kesihatan buat julung kali.

"Saya faham, untuk mendaki di kawasan bersalji sudah tentu mempunyai cabaran tersendiri, syukur walaupun ramai pendaki dan mempunyai pelbagai latar belakang, ekspedisi ini dapat dijayakan.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan ini adalah satu pencapaian tersendiri dalam bidang pendakian terutama di negara kita," katanya selepas menyambut ketibaan peserta pendakian cabaran Annapurna 2017, di KLIA hari ini.

Ekspedisi berkenaan bermula pada 27 April lalu di mana kesemua peserta berjaya melepasi cabaran pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) setinggi 4,130 meter, sekali gus mencatatkan Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi kumpulan terbesar dari Malaysia yang berjaya menamatkan ekspedisi di bumi Nepal itu.

Antara pengamal media yang menyertai pendakian berkenaan termasuklah wakil BH iaitu Pengarang Berita (BH Online), Khirul Bahri Basaruddin; Pengarang Berita, Zainuri Misfar; Ketua Biro BH Pahang, Abdul Razak Raaff dan wartawan Biro Putrajaya, Irwan Shafrizan Ismail.

Turut menyertai ekspedisi pendakian itu ialah warga Media Prima Berhad iaitu Pengarang Bersekutu (Berita dan Integrasi Media) Harian Metro, Noor Sham Saleh; Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Husain Jahit dan Ketua Biro TV3 Pahang, yang juga ketua ekspedisi, Fazli Ahmad.

Selain itu, Pengarang TV3, Shaharil Kadir; jurukamera TV3, Bazaei Ahmad dan Mohd Jufri Mohd Judin; jurugambar The New Straits Time Press (NSTP), Luqman Hakim Zubir; wartawan Harian Metro, Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan wartawan NST, Fernando Fong.

Ia turut disertai 21 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari seluruh negara; lima wakil Kementerian Kesihatan serta lima ahli persatuan belia Pahang dan Terengganu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2 Mei lalu turut mengucapkan tahniah menerusi catatan Twitter miliknya kepada peserta selepas menamatkan pendakian berkenaan.

Berita Harian X