Khamis, 4 Mei 2017 | 5:27pm

Penyokong TRW mohon penjelasan FAM, FMLLP

PRESIDEN Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW), Mohd Zainy Zain. - Foto Norizuan Shamsuddin
PRESIDEN Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW), Mohd Zainy Zain. - Foto Norizuan Shamsuddin

KOTA BHARU: Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Kota Bharu mempersoalkan kedudukan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang mempunyai masalah tunggakan gaji pemain tetapi terlepas daripada hukuman potong mata.

Presidennya, Mohd Zainy Zain, berkata, perkara itu diketahui menerusi akaun rasmi pemain di laman sosial, namun seolah-olah tiada tindakan yang sama dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Mohon penjelasan FAM dan FMLLP terhadap kenyataan bekas pemain pasukan Selangor, S Subramanian dan bekas pemain pasukan Melaka United, Labinot Harbuzi, yang mereka dikatakan belum lagi mendapat tunggakan gaji selepas berhijrah ke pasukan lain.

"Jika benar, FAM dan FMLLP perlu melakukan tindakan sama iaitu memotong enam mata terhadap semua pasukan yang mempunyai masalah bayaran gaji kepada bekas pemain dan bekas jurulatih," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berhubung dengan pemotongan enam mata yang dikenakan terhadap Kelantan, Zainy berkata pihaknya akur dengan keputusan berkenaan dan badan bola sepak negara itu bertindak demikian demi menjaga nama baik bola sepak di mata dunia.

"Ada (peminat) yang menyokong, namun ramai yang menolak tindakan ini tetapi bagi saya, apa yang dilakukan mereka (FAM dan FMLLP) juga bersebab.

"Namun saya yakin FAM dan FMLLP belum selesai melaksanakan tindakan itu secara menyeluruh terhadap semua pasukan kerana masih ada kedengaran masalah yang sama diluahkan oleh beberapa bekas pemain.

"Saya berharap siasatan menyeluruh dilaksanakan agar situasi sama adil dapat dilihat pengikut dan peminat bola sepak tanah air," katanya.

Baru-baru ini, Subramanian mendedahkan yang beliau masih belum menerima bayaran gaji enam bulan dari Selangor menerusi akaun Facebook miliknya.

Turut didakwa tidak menerima gaji dari Selangor adalah Nazmi Faiz Mansor, Hafiz Kamal dan Abdul Hadi Yahya.

Berita Harian X