Khamis, 4 Mei 2017 | 3:43pm

Pelan miliki Galaxy S8, Galaxy S8+ serendah RM145


TELEFON pintar terbaru Samsung iaitu Galaxy S8 dan Galaxy S8+. - Foto REUTERS

SUBANG JAYA: Pelanggan Celcom boleh memiliki telefon pintar terbaru Samsung iaitu Galaxy S8 dan Galaxy S8+ dengan bayaran serendah RM145 dan RM165 sebulan menerusi pelan ansuran 24 bulan EasyPhone.

Pelanggan pelan berkenaan akan digandingkan dengan rangkaian Celcom Lightning Fast LTE.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom Axiata Bhd, Azwan Khan Osman Khan, berkata pelan EasyPhone bersama langganan mana-mana pelan Celcom FIRST membolehkan pelanggan menikmati kecanggihan peranti terbaru itu pada harga mampu milik dan pengalaman digital terbaik.

"Ia adalah antara inisiatif kami untuk menambah baik pengalaman digital pelanggan sepanjang dihubungkan dengan rangkaian Celcom Lightning Fast LTE," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Rangkaian Celcom Lightning Fast LTE yang diumumkan minggu lalu, menggunakan teknologi terkini 4-transmit-4receiver (4T4R) yang menyokong peranti terkini dengan ciri 4x4 multiple-input dan multiple-output (MIMO).

Azwan Khan berkata, Celcom menjadi syarikat telekomunikasi pertama menawarkan kelajuan data yang lebih tinggi berbanding keupayaan maksimum semasa sehingga 300Mbps dan melepasi 400Mbps.

"Rangkaian Celcom Lightning Fast LTE menyokong penstriman video, penghantaran teks segera, suara digital, imej digital, muzik atau muat turun filem dan permainan sebenar bagi peranti seperti Samsung Galaxy S8 dan Samsung Galaxy S8+," katanya.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh memilih bayaran tambahan RM30 bagi perlindungan peranti iaitu RM175 dan RM195 sebulan bagi Samsung Galaxy S8 dan Samsung Galaxy S8+.

Selain pelan berkenaan, pelanggan boleh memiliki Samsung Galaxy S8 dan Samsunf Galaxy S8+ dengan harga RM2,168 dan RM2,498 setiap satu menerusi langganan pelan Celcom FIRST Platinum.

Langganan Cekcom FIRST Gold Plus dijual pada harga RM2,478 dan RM2,808 setiap satu.

Antara kelebihan Samsung Galaxy S8 termasuk ciri 'Infinity Display' yang meletakkan piawaian baharu bagi pengalaman tanpa gangguan dan mengasyikkan.

Berita Harian X