Rabu, 3 Mei 2017 | 11:09am

Raja Thai ambil alih kawal lima agensi

Raja Maha Vajiralongkorn.

BANGKOK: Raja Thailand diberi kuasa mengawal lima agensi kerajaan yang memantau hal ehwal dan keselamatan diraja, dalam langkah terbaharu mengukuhkan pengaruhnya.

Undang-undang yang memperincikan pemindahan kuasa itu tidak diumumkan sehingga ia diterbitkan, semalam dalam Gazet Diraja selepas penggubal undang-undang yang dilantik junta meluluskannya secara rahsia.

Lima agensi yang diletakkan dalam kawalan Raja Maha Vajiralongkorn adalah dua jabatan pentadbiran utama iaitu Biro Istana, Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Raja dan tiga badan keselamatan istana lain.

Sebelum ini, semua agensi itu berada sama ada di bawah kawalan kerajaan atau tentera.

"Tugas semua agensi ini berbeza dengan jabatan lain, jadi memang sesuai beberapa agensi baharu ditubuhkan di bawah pentadbiran Raja," kata Gazet Diraja.

Pakar akademik Thailand, David Streckfuss, berkata perubahan itu adalah usaha sejak sekian lama birokrasi istana cuba menghidupkan semula institusi diraja.

"Ia jelas menunjukkan pemisahan kuasa antara kerajaan dan institusi diraja yang belum pernah disaksikan di Thailand, sejak pemerintahan Raja berkuasa mutlaknya berakhir," katanya. - AFP

Berita Harian X