Jumaat, 28 April 2017 | 7:00am

Ertiga kenderaan selesa untuk keluarga


MPV Proton cekap tenaga mampu milik buat rakyat Malaysia.

MEMANDU uji Proton Ertiga, kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak buatan Malaysia pastinya memberi pengalaman berbeza kerana ia bukan saja selesa ketika memandu, malah ia juga mampu milik.

Ertiga, yang dilancarkan oleh PROTON Holdings Bhd (PROTON) pada hujung November lalu menjadi taruhan terbaharu pengeluar kereta nasional selepas model Exora yang mana ia adalah satu lagi segmen yang cuba untuk ditembusi oleh pengeluar kereta nasional itu.

MPV kompak yang mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) itu juga adalah kenderaan pertama yang dikeluarkan menerusi usaha sama yang dijalin oleh PROTON bersama Suzuki.

Baru-baru ini, BH Auto diberi peluang memandu uji Ertiga selama seminggu. Penulis menggunakan peluang yang diberikan itu memandu uji bersama keluarga ke Melaka.

Dengan perjalanan membabitkan lebih 300 kilometer (pergi-balik), penulis dapat merasai prestasi daripada varian paling tinggi untuk Ertiga, Executive Plus.

Berdasarkan saiznya yang lebih kecil berbanding Exora, penulis berpendapat, ia sesuai untuk keluarga yang tidak terlalu besar tetapi berhasrat mendapatkan kenderaan MPV untuk perjalanan lebih selesa dan berlainan daripada kenderaan sedan biasa.


ERTIGA, yang dilancarkan oleh PROTON pada hujung November lalu menjadi taruhan terbaharu pengeluar kereta nasional selepas model Exora.

Ertiga menggunakan platform dan enjin sama seperti Suzuki Swift generasi ketiga, iaitu unit petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT, dan gabungan kotak gear automatik empat kelajuan.

Dengan kuasa sebanyak 92 PS dan tork 130 Nm, Ertiga tidak mempunyai masalah kuasa kerana penulis merasai kelancaran pemanduan sepanjang perjalanan.

Dari segi kabin, Ertiga agak 'kosong' dengan ketiadaan panel sesentuh dan unit infotainment komprehensif seperti yang terdapat pada varian tertinggi model sedan, Proton Persona.

Begitupun, kemasan dalamannya boleh dipuji kerana pilihan warna pada papan pemuka dan badan dalaman amat bersesuaian dengan sebuah kereta berkonsepkan keluarga.

Beralih ke bahagian penumpang belakang, Proton Ertiga sebenarnya boleh memuatkan tambahan lima lagi penumpang jika berdasarkan kepada ruang dan saiz tempat duduknya.

Namun demikian, PROTON memasarkan kenderaan ini sebagai MPV kompak enam tempat duduk disebabkan tiada tali pinggang keledar di bahagian tengah.


RUANG dalaman memuatkan enam penumpang dengan selesa.

RUANG kargo yang luas.

Bagi mewujudkan fungsi fleksibel, bahagian tempat duduk penumpang belakang boleh dilaras, sama ada dilunjurkan ke depan atau belakang, disandar atau ditegakkan untuk pelbagai kegunaan dan saiz.

Ciri terbaik ditampilkan di bahagian ruang belakang adalah kehadiran corong pendingin hawa di bahagian panel bagi memberikan keselesaan maksimum kepada penumpang belakang.

Berdasarkan pakej harga yang ditawarkan oleh PROTON kepada pembeli Ertiga iaitu bermula daripada RM58,800 (Manual) dan Executive Plus (RM64,800), jelas model baharu kali ini ditampilkan dengan harapan supaya ada pilihan diberikan kepada segmen kereta keluarga selain sedan.

Namun, seperti yang diutarakan penulis sebelum ini, ia lebih sesuai kepada saiz keluarga yang tidak terlalu besar kerana selepas mengambil kira ruang yang disediakan serta ruang meletak bagasi, ia mungkin 'cukup-cukup' untuk lima orang (bersama bagasi).

Dari segi penjimatan bahan api, meski pun perjalanan ke Melaka membabitkan kira-kira 300km, penulis tidak perlu mengisi sebarang petrol sejak 'menjemput' Ertiga di Subang Jaya hinggalah ia dipulangkan di tempat sama.

Berdasarkan pemanduan penulis sekitar 100 hingga 120 kilometer sejam, ia membuktikan Ertiga amat cekap tenaga selain selesa untuk pemandu dan penumpang.

Beralih kepada aspek keselamatan, Ertiga dilengkapi dua beg udara, ciri keselamatan ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Dengan kelengkapan ini juga, Ertiga menerima penarafan empat bintang daripada ASEAN NCAP.


LAMPU hadapan.

Info:
Proton Ertiga Varian

  • Executive (dari RM58,800 transmisi manual)
  • Executive (dari RM61,800 transmisi automatik)
  • Executive Plus (dari RM64,800)
  • Spesifikasi : Enjin: 1.4L VVT, 4-silinder 16 Valve, DOHC, 91 hp pada 6,000rpm, 130Nm pada 4,000rpm
  • Penggunaan bahan api: 6L/100km
  • Enam tempat duduk dengan fabrik kalis air
  • Dua baris pendingin hawa (bahagian tengah dengan empat corong)
  • Sistem infotainmen: 2-DIN Radio, CD Player, MP3, iPod & iPhonel USB; 4-speaker
  • Keselamatan: Dua beg udara depan; ABS dengan EBD; sensor mengundur; tingkap kuasa antiperangkap; ISOFIX
  • Warna pilihan: Ruby Red; Carnelian Brown; Cotton White; dan Metal Grey.


STERENG dan panel meter.
Berita Harian X