Khamis, 27 April 2017 | 9:52pm

Kerajaan Pahang jumpa pengendali sekolah tahfiz 2 Mei ini

PENGERUSI Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

KUANTAN: Kerajaan Pahang menetapkan 2 Mei ini sebagai tarikh pertemuan dan mesyuarat bersama semua pengendali sekolah pondok dan tahfiz di negeri ini.

Pertemuan itu susulan cadangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu semua sekolah pondok dan tahfiz beroperasi di Pahang, didaftarkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta dipantau oleh Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP). 

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pertemuan dan mesyuarat itu akan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Jumlah sekolah agama (pondok) dan maahad tahfiz persendirian di Pahang semakin banyak dan kita tidak dapat melakukan pemantauan dengan berkesan memandangkan sebahagian besar daripadanya tidak berdaftar dengan MUIP atau pihak Jabatan Pendidikan Negeri.

"Jadi kita harap melalui pertemuan minggu depan, perkara ini boleh diselesaikan... sekurang-kurangnya kita minta mereka (pengendali sekolah agama dan maahad tahfiz) berdaftar dengan pihak berkenaan bagi memudahkan pemantauan dan pengagihan bantuan (dana)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Syed Ibrahim berkata, tarikh pertemuan itu sudah lama ditetapkan sebelum berlaku insiden menimpa kanak-kanak malang, Mohamad Thaqif Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal dunia semalam dipercayai dipukul warden sebuah sekolah tahfiz di Kota Tinggi, Johor.

Katanya, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan berharap hasil pertemuan antara kerajaan negeri bersama kira-kira 60 pengendali sekolah pondok dan maahad tahfiz itu dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.

"Kita nak tengok kaedah pengajian dan pengajaran dilakukan di tempat mereka... begitu juga dengan tenaga pengajar yang mereka ada, kena nilai juga mereka (tenaga pengajar) sesuai atau tidak," katanya.

Berita Harian X