Khamis, 27 April 2017 | 6:32pm

Celcom sasar 10 peratus liputan LTE pantas akhir tahun

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd menyasar untuk mencapai 10 peratus liputan di seluruh negara menjelang akhir tahun bagi rangkaian LTE sepantas kilat yang dilancar hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Azwan Khan Osman Khan, berkata perkhidmatan itu sesuai untuk model mudah alih terpilih yang boleh didapati mulai Ogos 2017 oleh pelanggan di Lembah Klang.


TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Azwan Khan Osman Khan. - Foto Asyraf Hamzah

"Celcom menjadi penyedia telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan kelajuan sambungan amat tinggi, akses berkualiti tinggi kepada perkhidmatan multimedia dan pengalaman pelanggan digital terbaik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan rangkaian baharu itu yang mengguna teknologi 4-hantar-4-penerima (4T4R) , di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa Celcom memberikan data percuma selama seminggu untuk Facebook dan aplikasi WhatsApp mulai 29 April berikutan gangguan dalam keseluruhan rangkaiannya baru-baru ini.

LTE sepantas kilat menawarkan kelajuan rangkaian yang lebih pantas serta tempoh muat turun dan muat naik yang lebih pendek.

Ia menyokong penstriman video yang lancar, penghantaran teks segera, suara dan imej digital yang lebih jelas, muat turun muzik dan filem lebih cepat serta permainan dalam masa nyata.

Azwan berkata, usaha meningkatkan liputan rangkaian, kualiti dan kebolehpercayaan dengan tumpuan berterusan ke atas perkhidmatan semasa LTE Canggih, akan kekal sebagai bidang pelaburan utama.

Sementara itu, beliau berkata, Celcom akan menjalankan percubaan untuk rangkaian 5G bulan depan, seiring dengan objektif bagi menawarkan teknologi terpantas dan paling canggih kepada pelanggan.

"Setakat ini perkhidmatan 4G Celcom sudah beroperasi di 268 bandar dan pekan utama di seluruh negara. Kami berada di landasan yang betul bagi merealisasikan sasaran liputan 85 peratus penduduk untuk 4G serta 40 peratus untuk 4G LTE Canggih menjelang akhir tahun," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X