Sabtu, 22 April 2017 | 10:42pm

J Revolusi bakal diterbitkan dalam format drama

PETALING JAYA: Filem pecah panggung, J Revolusi bakal dihasilkan dalam format drama untuk disiarkan secara eksklusif menerusi perkhidmatan penstriman terbesar tempatan pertama, Tonton, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengarah Tonton, Pelesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen MPB, Airin Zainul berkata, perkara itu sudah dibincangkan sejak awal filem itu diterbitkan kerana mahu menjadikan J Revolusi sebagai satu jenama.

"Kami sudah memikirkan untuk membawa filem itu ke dalam format drama kerana ia mempunyai plot dan jalan cerita menarik. Ia sebagai usaha untuk menguatkan lagi J Revolusi sebagai jenama, selepas memperkenalkan aplikasi permainan filem itu.

""Kami juga merancang untuk mengekalkan pelakon asal filem itu, tetapi ia masih belum dapat disahkan kerana bergantung kepada kekosongan jadual mereka. Kemungkinan juga akan ada penambahan pelakon baharu, " katanya ketika ditemui pada Konsert Jom Tonton di The Curve, di sini, malam tadi.

J Revolusi yang menampilkan lakonan hebat Zul Ariffin, Farid Kamil, Azad Jasmin, Izara Aishah dan Nur Fazura menemui penonton di pawagam pada 2 Mac lalu.

Dianjurkan buat kali pertama, konsert Jom Tonton yang berlangsung selama dua jam bermula jam 8 malam menampilkan barisan artis ternama seperti Ning Baizura, Bunkface, Kaka Azraff, Sufian Suhaimi, Waris, Alvin Chong, Ara Johari, Azlan & The Typewriter dan Juzzthin.

Terdahulu, duta baharu Tonton iaitu Ayda Jebat, Redza Rosli, Thomas Jack dan Ratu Tonton, Datuk Seri Vida turut menghiburkan pengunjung yang mula membanjiri lokasi konsert sejak awal pagi.

Berita Harian X