Rabu, 19 April 2017 | 2:27pm

5 ditahan miliki haiwan dilindungi

PENGARAH Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Rahmah Ilias, melihat haiwan yang dirampas dalam Program 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON). - Foto Nazdy Harun
PENGARAH Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Rahmah Ilias, melihat haiwan yang dirampas dalam Program 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON). - Foto Nazdy Harun

KUALA BERANG: Lima lelaki termasuk empat rakyat Indonesia ditahan selepas dipercayai memiliki hidupan liar tanpa lesen di dalam premis mereka di Kampung Jabi, Besut.

Mereka ditahan dalam program 1Malaysia Operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat lalu.

Kira-kira 10 spesies haiwan dilindungi dirampas dalam dua serbuan berasingan di lokasi terbabit.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Rahmah Ilias, berkata dalam serbuan pertama empat lelaki Indonesia berusia 23 hingga 31 tahun ditahan selepas pemeriksaan di rumah mereka mendapati terdapat lapan burung Murai Batu, dua ayam hutan, seekor burung Murai Belanda, burung Helang Bahu Hitam dan burung Kunyit Kacat.

Katanya, semua suspek yang bekerja di sebuah kilang kayu di daerah itu ditahan selepas gagal menunjukkan lesen pemilikan haiwan perlindungan yang sah.

"Dalam serbuan kedua di lokasi sama, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas didapati memiliki memiliki 10 Landak Raya, tiga kura-kura, seekor memerang, musang dan Ular Sawa Burma.

"Kami tidak menolak kemungkinan suspek menjalankan urus niaga tidak sah dengan menjual haiwan terbabit namun ia masih dalam siasatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Rahmah berkata, hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM50,000 mengikut harga pasaran semasa haiwan terbabit.

Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 60(1)(a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen dan Seksyen 68(1)(a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Berita Harian X