Isnin, 5 Januari 2015 | 4:53pm

Lelaki didakwa tipu pengurus projek lebih RM100,000

Anggota polis membawa tertuduh, Harizat Abdul Rahman, 39, (dua dari kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Kajang hari ini. - Foto Azhar Ramli
Anggota polis membawa tertuduh, Harizat Abdul Rahman, 39, (dua dari kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Kajang hari ini. - Foto Azhar Ramli

KAJANG: Seorang lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap sembilan pertuduhan menipu seorang pengurus projek syarikat pembinaan lebih RM100,000 tiga tahun lepas.

Harizat Abdul Rahaman, 39, didakwa menipu Tiu Boon Hui, 57, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan projek membabitkan Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek Aliran Transit Massa (MRT) dan projek daripada PLUS Malaysia bagi membekalkan kon dan penghadang plastik kepada syarikat mangsa.

Perbuatan itu mendorong Tiu menyerahkan wang tunai berjumlah RM114,050 kepada tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di No 9, Jalan Kajang Impian, 1/8 Taman Kajang Impian dan di CIMB Bank Pekan Kajang, di sini antara 17 Disember 2012 hingga 18 Mac 2013 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Abirami tidak menawarkan sebarang jaminan namun peguam Mohd Fadli Yaakob memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan tertuduh menanggung isteri, dua anak dan ibu yang uzur.

Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad membenarkan Harizat diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 9 Feb untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Berita Harian X