Isnin, 17 April 2017 | 2:51pm

Industri skuba sasar RM5 bilion


PENGARAH Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud (tiga dari kiri) bersalaman dengan Timbalan Presiden Persatuan Selaman Skuba Malaysia, Syed Abd Rahman Syed Hassan di Program Discovery Kelantan The Water Side di Pulau Perhentian. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Majlis Jawatankuasa Selam Skuba Malaysia menyasarkan perolehan berjumlah RM5 billion melalui industri itu menjelang tahun 2020 di seluruh negara.

Naib Presidennya, Syed Abd Rahman Syed Hassan, berkata agensi yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu kini mempergiatkan promosi aktiviti selam skuba bagi menarik pelancong ke negara ini.

"Sehingga kini negara sudah memperoleh RM1.5 billion daripada industri berkenaan. Perolehan ini membabitkan perkhidmatan pusat selam, kemudahan asas, kelengkapan dan tempat penginapan kepada penyelam.

"Aktiviti selam skuba ini mampu menjana pendapatan kepada negara jika dipertingkatkan perkhidmatan mengikut ISO Piawaian Selam Skuba Antarabangsa dan mewujudkan lebih banyak pusat menyelam di seluruh negara," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Syed Abd Rahman berkata, kini terdapat kira-kira 5,000 pusat menyelam di seluruh negara tetapi hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

"Saya berharap industri selam skuba di negara ini mampu mencapai standard operasi setanding negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Australia.

"Ini juga penting demi menjaga keselamatan penyelam dan mempertingkatkan latihan selaman kepada mereka," katanya.

Syed berkata, dua penemuan baharu di lokasi selam di Kelantan membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menubuhkan pusat perkhidmatan selam skuba di Kota Bharu.

"Kewujudan terumbu karang payung di Pantai Kemasin, Bachok dan sebuah rangka kapal pengangkut tentera Jepun dalam Perang Dunia II, Awajisan Maru di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa memberi peluang kepada penduduk setempat membuka pusat perkhidmatan selam skuba di negeri itu," katanya.

Berita Harian X