X
Sabtu, 15 April 2017 | 1:47pm

'Rafizi macam budak nakal'

DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Abdullah Yusof
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

ALOR SETAR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, diibaratkan seperti 'budak nakal' apabila yang mahu memecah-belahkan hubungan politik antara PAS dan PKR demi memenuhi agenda peribadinya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, melihat Ahli Parlimen Pandan itu bersungguh-sungguh mahukan perpecahan antara PAS dan PKR berlaku.

"Tindakan beliau mahu memecah-belahkan PAS dan PKR dilihat lebih kepada usaha menyingkirkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya dari dunia politik.

"Selama ini, hubungan PAS dan PKR baik kerana adanya individu seperti Azmin yang kini Menteri Besar Selangor berbanding individu seperti Rafizi yang lebih suka memutuskan hubungan tahaluf siyasi.

"Saya lihat dia seperti budak nakal yang suka pecahkan semua barang dalam rumah, begitulah beliau apabila membabitkan hubungan PAS dan PKR," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen PAS Kedah di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar yang diiringi Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, turut melawat kompleks yang menjadi lokasi penganjuran Muktamar Tahunan PAS ke-63, hujung bulan ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X