Jumaat, 14 April 2017 | 11:29am

EPL: Spurs kini letak sasaran lebih besar


PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur mempunyai sasaran lebih besar berbanding menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di atas Arsenal musim ini, kata pengendalinya Mauricio Pochettino yang kini berusaha keras merapatkan jurang dengan pendahulu, Chelsea.

Kali terakhir Tottenham mengatasi Arsenal ialah pada tahun 1995, tetapi kini meninggalkan pesaing utara London itu dengan kelebihan 14 mata, walaupun bermain lebih satu perlawanan berbanding anak buah Arsene Wenger.

Perlawanan di laman sendiri menentang Bournemouth malam ini memberi peluang buat Tottenham untuk merapatkan jurang dengan Chelsea kepada empat mata dan ia satu-satunya perkara yang berada dalam fikiran Pochettino sekarang.

"Saya rasa kami bermain dan berjuang untuk sesuatu yang lebih besar," kata pengendali dari Argentina itu.

"Jika kita melihat gambaran lebih besar, ia berkenaan merapatkan jurang dengan Chelsea. Saya rasa hari ini ia tidak lagi penting - jurang dengan Arsenal.

"Apa yang paling penting ialah melakukan tugas kami, cuba memenangi perlawanan dan cuba merapatkan jurang dengan Chelsea."

Spurs menghampiri Chelsea hujung minggu lalu apabila membelasah Watford 4-0 di White Hart lane, tetapi skuad kendalian Antonio Conte kembali menjarakkan diri kepada tujuh mata selepas menang 3-1 di Bournemouth.

Namun dengan Chelsea berdepan cabaran besar di Old Trafford bertemu Manchester United, satu lagi kemenangan Spurs di laman sendiri akan menambah tekanan ke atas pendahulu liga itu. - AFP

Berita Harian X