Khamis, 13 April 2017 | 12:30pm

Celcom tawar GBshare untuk pelanggan FIRST


TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom Axiata, Azwan Khan Osman Khan (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan Celcom Axiata, Zalman Aefendy Zainal Abidin (kanan) ketika majlis Celcom Perkenal Produk GBShare yang lebih mudah dikongsi dan diuruskan dengan rangkaian 4G Celom. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Jenama pascabayar utama Celcom Axiata Bhd, Celcom FIRST memperkenalkan ciri terbaharu produknya, GBshare, pelan FIRST terbesar yang mudah dikongsi dan diuruskan.

Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata pelanggan Celcom FIRST Gold Plus dan FIRST Platinum kini boleh berkongsi kuota internet dengan rakan dan keluarga dengan mudah melalui aplikasi pascabayar terkini MYCELCOM POSTPAID.

Ciri baharu GBshare menawarkan pelan internet yang boleh dikongsi melalui Celcom FIRST Gold Plus RM98 (40GB) dengan pendaftaran dua GBshare Lines untuk perkongsian internet yang mudah hingga 44GB.

"Untuk FIRST Platinum RM150 (60GB), pelanggan boleh mendaftar dua GBshare Lines atau hingga maksimum lima GBshare Lines, untuk perkongsian internet hingga 70GB dengan lima ahli keluarga," katanya ketika memberi penerangan mengenai GBshare di sini hari ini.

Setiap talian GBshare pada harga RM48 juga didatangkan dengan 2GB internet tambahan kepada jumlah kuota kumpulan internet bulanan.

Talian GBshare juga menawarkan panggilan tanpa had dan penggunaan tanpa had bagi aplikasi WhatsApp dan WeChat.

Kuota internet GBshare boleh digunakan pada bila-bila masa. Ia digabungkan dengan aplikasi pascabayar terkini MYCELCOM POSTPAID, yang boleh dimuat turun daripada Google Play dan App Store, yang membolehkan internet dikongsi dengan mudah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan, Celcom Axiata, Azwan Khan Osman Khan, berkata GBshare disempurnakan bagi memenuhi keperluan digital pelanggan dengan aplikasi perkongsian kumpulan yang lebih mudah dan tidak merumitkan.

"Matlamat berterusan Celcom adalah menyediakan pengalaman internet mudah alih yang terulung untuk pelanggan.

"Sehubungan itu, kami mahukan pelanggan untuk memiliki akses yang paling mudah bagi berkongsi peruntukan internet dengan rakan dan ahli keluarga, seterusnya menambahbaik pengalaman digital mereka bersama rangkaian 4G Celcom," katanya.

Berita Harian X