Selasa, 11 April 2017 | 12:39am

Video penumpang diheret keluar dari pesawat tersebar

CHICAGO: Satu rakaman video menunjukkan tiga pegawai keselamatan mengheret seorang penumpang lelaki dari pesawat United Airlines akibat terlebih tempahan tersebar, ketika kapal terbang sedang menunggu untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Here, di sini.

Penumpang, Audra D. Bridges menghantar video itu di Facebook selepas insiden petang semalam. Ia menunjukkan polis mengheret seorang lelaki yang menjerit-jerit dari tempat duduk tepi tingkap.

"Semua orang terkejut dan tergamam. Ada beberapa kanak-kanak dalam pesawat dan mereka semua agak sedih," kata Bridges sambil menambah United menawarkan pampasan bayaran AS$800 (RM3,548.40) dan penginapan di hotel kepada penumpang yang dibatalkan penerbangannya.

Penumpang lain didengar berkata; "Tolong, oh Tuhan. Apa yang anda lakukan? Tidak. Ini salah. Oh Tuhan. Lihat apa yang anda lakukan kepadanya."

GAMBAR fail, pesawat United Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa San Fancisco.
GAMBAR fail, pesawat United Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa San Fancisco.

Bridges, dari Louisville, memberitahu akhbar The (Louisville) Courier-Journal, selepas penumpang menaiki pesawat menuju ke Louisville, Kentucky, mereka dimaklumkan empat sukarelawan diperlukan untuk menyerahkan tempat duduk mereka kepada kakitangan United yang perlu berada di bandar itu hari ini.

Katanya pesawat tidak akan berlepas sehingga kakitangan terbabit diberi tempat duduk.

Jurucakap United, Charlie Hobart berkata, kakitangan syarikat penerbangan menamakan empat penumpang yang perlu meninggalkan pesawat dan tiga daripadanya sanggup berbuat demikian.

Katanya, anggota penguat kuasa kemudian dipanggil apabila penumpang keempat enggan keluar.

"Kami mematuhi prosedur yang betul. Pesawat perlu berlepas. Kami mahu pelanggan sampai ke destinasi dan apabila seorang lelaki enggan keluar dari pesawat, kami terpaksa memanggil Jabatan Polis Chicago," kata Hobart dalam perbualan telefon. - AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X