Isnin, 10 April 2017 | 5:31pm

Mangsa banjir lumpur maut jangkitan kuman

KETUA Polis Daerah Kinabatangan Supritendan A Sahak Rahmat. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

KINABATANGAN: Seorang wanita yang terselamat dalam kejadian banjir lumpur di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, pada 1 April lalu, meninggal dunia pagi semalam dipercayai akibat jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata mangsa, Zaleha Mandaya, 40, disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi semalam.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 3 April susulan luka pada kaki, dua hari selepas dia ditemui selamat di Sungai Penangah, tidak jauh dari rumah kongsinya yang musnah dihanyutkan banjir lumpur.

"Doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi pada 1 April lalu, 11 sekeluarga hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur di Ladang Sen Fu, kira-kira 160 kilometer (km) dari Keningau.

Tiga mangsa ditemui selamat termasuk Zaleha, enam meninggal dunia, manakala dua lagi tidak ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan Jumaat lalu.

Berita Harian X