Isnin, 10 April 2017 | 4:06pm

TM berjaya laksana projek kabel dasar laut MCT

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) meneruskan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi utama di dunia dengan kejayaannya menyelesaikan projek sistem kabel dasar laut Malaysia-Kembodia-Thailand (MCT).

Naib Presiden Eksekutif, Global Wholesale TM, Mohamad Rozaimy Abd Rahman, berkata projek sepanjang 1,300 kilometer itu yang bermula dari Malaysia adalah sistem kabel dasar laut pertama Kemboja.

Katanya, kejayaan itu menandakan bermulanya era sambungan internet baharu yang lebih baik dan selamat untuk rantau ini.

"Sistem kabel MCT ini akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perniagaan di rantau ASEAN, khususnya industri telekomunikasi. Ia juga akan menjadi pemangkin bagi industri lain di Indochina yang memerlukan infrastruktur telekomunikasi memandangkan telekomunikasi elemen penting kepada perniagaan semasa.

"TM berbangga kerana dapat mewakili Malaysia dalam satu lagi projek gergasi serantau, selain peluang bekerjasama dengan Telcotech dari Kemboja dan Symphony Communication dari Thailand," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kejayaan projek MCT diumumkan dalam satu majlis di Kemboja baru-baru ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo HUN Sen serta Menteri Pos dan Telekomunikasi Kemboja, Perdana Menteri Kemboja, H.E. Mr. Tram Iv Tek, Menteri Pos dan Telekomunikasi, Tram Iv Tek.

Rozaimy berkata, kejayaan projek MCT menandakan satu lagi pencapaian penting bagi TM sebagai syarikat pembekal telekomunikasi pukal terurus serantau ke arah mempertingkatkan sambungan ASEAN.

Selain itu, katanya, TM juga menyokong dan mengetengahkan sebarang inisiatif ke arah menjayakan integrasi ekonomi rantau Asean, khususnya Komuniti Ekonomi Asean (AEC) melalui infrastruktur dan sambungan komunikasi yang dipertingkatkan.

Projek MCT adalah pelaburan bersama TM dengan Telcotech dari Kemboja dan Symphony Communication dari Thailand bermula Mei 2015.

Berita Harian X