Isnin, 10 April 2017 | 3:03pm

Thailand anjur festival filem di Malaysia

FILEM Take Me Home akan turut ditayangkan sempena Festival Filem Thai.

KUALA LUMPUR: Sebagai sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-60 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Thailand, buat julung kalinya Festival Filem Thai akan dilangsungkan di negara ini.

Diadakan menerusi kedutaan mereka di Malaysia, festival berkenaan adalah hasil kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar negara itu dan Persekutuan Kebangsaan Filem dan Persatuan Kandungan Thailand.

Kedutaan Thailand, dalam satu kenyataan dikirimkan kepada BH Online, menjelaskan penganjuran festival filem itu juga bertujuan menggalakkan dan menerapkan kefahaman budaya yang lebih baik di antara rakyat kedua-dua negara berjiran.

Festival ini akan menampilkan lima filem pelbagai genre negara itu, daripada romantik, komedi hinggalah kepada seram.

Filem A Gift, One Day, Take Me Home, Mr Hurt dan The Crown akan ditayangkan kepada umum di tiga pawagam utama di ibu negara iaitu di GSC Pavilion Kuala Lumpur, GSC One Utama dan GSC Mid Valley.

Sehubungan itu, sidang media Festival Filem Thai Malaysia 2017 dan tayangan filem seram, Take Me Home, akan diadakan di GSC Mid Valley, pagi esok.

Festival filem yang bakal berlangsung dari 20 hingga 26 April ini akan dirasmikan oleh Duta Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan.

Take Me Home, karya arahan sutradara Kongkiat Khomsiri itu turut dicalonkan pada Anugerah Persatuan Filem Kebangsaan Thailand bagi kategori Arahan Seni Terbaik.

Sepanjang penganjuran festival ini, pengunjung turut berpeluang menonton filem hebat Thai secara percuma. Apa yang perlu dilakukan adalah menunjukkan gambar atau cetakan mana-mana artikel berkaitan Festival Filem Thai yang disiarkan di laman web GSC atau Facebook atau artikel dalam talian lain untuk menebus dua tiket percuma.

Penebusan hanya boleh dibuat seminggu sebelum tarikh tayangan (bermula 18 April 2017) berdasarkan siapa cepat dia dapat dan boleh ditebus di kaunter tiket GSC di Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley Megamall dan 1 Utama.

Untuk maklumat lanjut layari www.gsc.com.my atau https://www.facebook.com/TFFMalaysia.

Berita Harian X