Isnin, 10 April 2017 | 12:02pm

Chang Wook tunda Khidmat Negara kerana seni


Ji Chang Wook pada sesi berjumpa peminat di Golden Screen Cinemas, Pavilion, Bukit Bintang. - Foto Aswadi Alias.

KUALA LUMPUR: Aktor Korea, Ji Chang Wook, 30, menangguhkan tanggungjawabnya menyertai Khidmat Negara buat sementara waktu bagi menumpukan perhatian terhadap karier lakonan.

Katanya, kebanyakan kerja yang harus dilaksanakan sudah disusun lebih awal, membuatkan beliau perlu menunda seketika tanggungjawab berkenaan.

"Saya mempunyai jadual seni yang sudah diaturkan dan sebelum saya pergi melaksanakan Khidmat Negara, saya perlu menyiapkan semua projek terbabit terlebih dulu.

"Malah, saya juga ingin melancong sebelum itu, serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Pastinya, mereka ialah individu yang paling saya rindui nanti," katanya.

Di Korea, latihan tentera ialah suatu kewajipan kepada setiap lelaki yang berumur 20 tahun ke atas yang sihat tubuh badan sebagai persediaan mempertahankan negara menghadapi sebarang kemungkinan. Perkhidmatan itu memakan masa selama dua tahun.

Penangguhan berkenaan juga berikutan komitmennya sebagai bintang utama filem terbaru, Fabricated City.

Hadir ke ibu negara bagi mempromosikan filem terbabit, Chang Wook berkongsi keterujaan melihat sokongan dan sambutan peminat tempatan buat dirinya.

"Inilah kali pertama saya ke sini dan jujurnya, saya sangat terkejut melihat sambutan peminat di Malaysia. Saya seronok mendapat peluang ini dan terima kasih pada peminat. Saya ke sini pun atas sokongan dan dorongan mereka.

"Saya kini terfikir untuk kembali ke sini lagi untuk meluangkan lebih masa bersama peminat kerana kunjungan kali ini agak terhad waktunya," katanya yang ditemui di sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.

Selepas menemui media, Chang Wook meluangkan masa menghadiri majlis tayangan gala Fabricated City beberapa jam kemudian di Pavilion.

Fabricated City yang dibawakan oleh tvN Movies ialah filem pertama menampilkan Chang Wook sebagai aktor utama. Ia akan mula ditayangkan di negara ini pada 20 April.

Katanya, filem aksi jenayah arahan Park Kwang-hyun ini ialah naskhah sangat mencabar kredibilitinya sebagai pelakon dan beliau berharap peminat terhibur dengan kelainan yang dihidangkan.

Chang Wook mula menambat hati peminat menerusi drama bersiri, Healer (2014) dan The K2, yang disiarkan pada tahun lalu.

Berita Harian X