Ahad, 9 April 2017 | 11:33pm

1 maut, 20 cedera nahas belon panas


ANGGOTA keselamatan membuat penyiasatan susulan sebuah belon panas yang membawa pelancong melanggar wayar elektrik bervoltan tinggi sebelum terhempas. - Foto AP

ISTANBUL: Seorang pelancong Perancis maut manakala 20 lain cedera apabila sebuah belon panas membawa pelancong melanggar wayar elektrik bervoltan tinggi sebelum terhempas di tempat pelancongan terkenal di tengah Turki, hari ini.

Agensi berita tempatan, Anadolu berkata, beberapa belon panas diterbangkan di wilayah Cappadocia hari ini bagi memberi peluang kepada pelancong menikmati pemandangan indah di tapak bersejarah itu, sebelum sebuah belon terlanggar wayar elektrik ketika sedang turun.

Sementara itu, agensi berita swasta, Dogan melaporkan, lelaki Perancis itu maut di tempat kejadian. Angin kencang menyebabkan kemalangan itu, menurut agensi berkenaan.

Menurut Anadolu, acara belon panas itu terpaksa dihentikan Rabu lalu akibat cuaca buruk dan disambung semula semalam selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa penerbangan awam.

Dogan berkata, kebanyakan mangsa yang cedera hari ini adalah pelancong tempatan dan dibawa ke hospital berhampiran. Kebanyakan mangsa yang menerima rawatan sudah dibenarkan pulang.

Cappadocia adalah destinasi pelancongan terkenal dengan tarikan formasi batuan gunung berapi, bandar bawah tanah dan ukiran gereja di kaki gunung. - AP

Berita Harian X