Ahad, 9 April 2017 | 1:07pm

92 ditahan dalam Operasi Noda

SERDANG: Polis menahan 92 orang termasuk seorang penjaga premis hiburan dalam Operasi Noda di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira 1.30 pagi itu, polis menahan 37 warga tempatan dan 65 warga asing di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias, berkata serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Serdang selepas mendapat laporan premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.

"Hasil siasatan, polis menahan 32 lelaki dan lima wanita warga tempatan yang dipercayai pelanggan di pusat hiburan berkenaan serta enam pelayan wanita warga Vietnam, 10 wanita dan 49 lelaki warga Indonesia.

"Semua suspek ditahan kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen, mengajikan pekerja asing tanpa permit yang sah dan tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya polis turut merampas tiga keping resit tunai dan wang tunai berjumlah RM 1,040.

Berita Harian X