Jumaat, 7 April 2017 | 3:09pm

Kenyataan merujuk 'rogol berkanun' - Shabudin

TASEK GELUGOR 07 APRIL 2017. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya (tengah) dalam sidang media semasa projek Mesra Rakyat tahun 2017 peringkat negeri Pulau Pinang di Pokok Manchang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAN RAMDZAN MASIAM
TASEK GELUGOR 07 APRIL 2017. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya (tengah) dalam sidang media semasa projek Mesra Rakyat tahun 2017 peringkat negeri Pulau Pinang di Pokok Manchang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAN RAMDZAN MASIAM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, menjelaskan perkahwinan antara perogol dengan mangsa yang dibahaskan di Dewan Rakyat Selasa lalu, adalah membabitkan kes 'rogol berkanun'.

Mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, hubungan seks dengan gadis berusia 16 tahun ke bawah, sama ada rela atau paksaan, diklasifikasikan sebagai jenayah rogol.

Bekas Hakim Mahkamah Syariah itu berkata, dalam perbahasan itu, beliau menyebut mengenai undang-undang perkahwinan sedia ada yang tidak menghalang seorang perempuan berusia 16 tahun ke bawah berkahwin dengan pasangannya yang melakukan hubungan seks secara rela atau dikenali sebagai rogol berkanun.

Katanya, beliau mengakui kes itu tetap diklasifikasikan sebagai jenayah rogol dan perlu dihukum mengikut undang-undang jika dilaporkan, namun tidak menjadi kesalahan jika wanita itu mahu berkahwin dengan pasangannya jika keluarga bersetuju serta dibenarkan Mahkamah Syariah.

"Contohnya, lelaki berusia 20 tahun bercinta dengan gadis berusia 15 tahun, terlanjur dan perkara itu diketahui keluarga.

"Keluarga pula mencadangkan penyelesaian secara perbincangan...mereka kata, kahwinkan sajalah dengan teman lelaki dia. 

"Persetubuhan telah berlaku dan undang-undang kata ianya kes rogol, kes jenayah dan itu satu isu, tetapi jika pihak keluarga memohon untuk kahwinkan mereka, perkahwinan itu tidak boleh dihalang (mengikut undang-undang sedia ada)," katanya pada satu sesi temu ramah bersama portal berita KLXpress, kelmarin.

Beliau sebelum ini dikritik kerana didakwa menyokong perkahwinan antara perogol dengan mangsa di bawah umur ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat.

Perbahasan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu adalah bagi menolak usul pindaan terhadap RUU terbabit dikemukakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, yang mahu perkahwinan membabitkan kanak-kanak diharamkan.

Berdasarkan Penyata Parlimen bertarikh 4 April, Shabudin dengan jelas merujuk pada kes persetubuhan luar nikah bagi gadis berusia bawah 16 tahun dengan pasangannya secara rela, serta melihat perkahwinan sebagai antara penyelesaian berdasarkan pengalamannya menjadi Hakim Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata beliau tidak langsung menyebut mengenai memaksa perogol berkahwin dengan mangsa rogol.

Mengenai kenyataannya menyebut perkahwinan perogol dengan mangsanya boleh menjalani kehidupan lebih baik, Shabudin berkata beliau merujuk pada situasi tertentu bagi kes rogol berkanun.

"Katakanlah pasangan kekasih terlanjur hingga mengandung, namun kita kata dia tak boleh kahwin (atau) undang-undang tidak benarkan mereka berkahwin. Apa jadi pada pasangan itu sedangkan mereka tidak ada masalah dari segi penerimaan antara satu sama lain?

"Sebab itu hukum syarak tidak menghalang (berkahwin) jika pasangan itu ingin berkahwin (kes suka sama suka," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X