Jumaat, 7 April 2017 | 7:48am

Jet China dilihat di Laut China Selatan

PESAWAT pejuang China dilihat di sebuah pulau yang dikuasai China di Laut China Selatan. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Sebuah pesawat pejuang China dilihat di sebuah pulau yang dikuasai China di Laut China Selatan, insiden pertama tahun ini sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengambil alih jawatan.

Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), iaitu agensi di bawah Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington, berkata jet pejuang J-11 itu boleh dilihat dalam imej satelit yang diambil pada 29 Mac di Pulau Woody dekat gugusan Kepulauan Paracel.

Berita itu diperoleh ketika Trump menghadiri mesyuarat di Florida bersama Presiden China, Xi Jinping pada hari ini dan esok.

Trump dijangka menyatakan kebimbangan Amerika Syarikat berhubung usaha perluasan wilayah dan ketenteraan China di Laut China Selatan.

"Ia bukan yang pertama, tetapi adalah yang pertama tahun ini," kata Pengarah AMTI, Greg Poling berhubung penemuan itu.

Bagaimanapun, Kedutaan China yang dihubungi enggan mengulas lanjut.

China sebelum ini menolak tuduhan Amerika Syarikat bahawa ia memperluaskan kuasa ketenteraan di Laut China Selatan.

Malah, pada Mac tahun lalu, Perdana Menteri Li Keqiang, berkata kelengkapan pertahanan perlu diletakkan di pulau-pulau dekat perairan yang dipertikaikan untuk mengekalkan 'kebebasan pelayaran'. - Reuters

Berita Harian X