Khamis, 6 April 2017 | 11:03pm

ICW 2017 dijangka tarik 15,000 pengunjung

KUALA LUMPUR: Edisi ke-17 Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017 (ICW 2017) dijangka menarik 15,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa berbanding 12,000 tahun lalu.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata pengunjung termasuk delegasi menghadiri persidangan dan seminar yang diadakan sepanjang minggu itu.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada pengunjung dijangkakan rakyat tempatan manakala selebihnya pihak luar, terutama dari negara ASEAN.

"Komponen utama ICW 2017, Pameran Ecobuild South-East Asia, dijangka disertai kira-kira 100 syarikat tempatan dan asing yang mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka," katanya.

Ahmad Asri berkata demikian pada taklimat media mengenai ICW 2017 di sini, hari ini.

ICW 2017 yang dianjurkan CIDB, akan diadakan dari 10-14 April. Ia akan menumpukan kepada meningkatkan kualiti dan keselamatan dalam pembinaan.

Pameran Ecobuild South-East Asia akan berlangsung dari 12-14 April.

Ahmad Asri berkata, sorotan tahun ini termasuklah Persidangan Kepimpinan Pembinaan Antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan, anjuran bersama CIDB dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri mengenai amalan terbaik bagi meningkatkan prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang pembinaan, CIDB akan melancarkan Minggu Kerjaya Pembinaan semasa ICW 2017.

"Ia menyediakan pelbagai aktiviti termasuk temu duga pekerjaan, peraduan permainan dalam talian, pengalaman simulator dan peluang latihan dalam pelbagai perdagangan pembinaan," katanya.

Bagi belia yang meneruskan pelajaran dalam pengajian profesional pembinaan, beliau berkata, CIDB bekerjasama dengan Persatuan Struktur Keluli Malaysia menganjurkan Pertandingan Idea Terbuka, cabaran reka bentuk dan binaan struktur antara universiti.

"Mereka yang berminat mengunjungi atau menyertai program ICW 2017 boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi dalam talian di www.icw.my dan www.ecobuildsea.com," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X