Khamis, 6 April 2017 | 7:06am

Dua peristiwa bakal corakkan dagangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia menumpukan kepada dua peristiwa utama minggu ini yang akan memberi kesan positif dan negatif terhadap perdagangan dengan negara lain.

Peristiwa pertama ialah Amerika Syarikat (AS) secara rasmi akan mengumumkan langkah mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium, manakala peristiwa kedua ialah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) baharu akan ditandatangani pada Khamis ini di Chile.

Penganalisis berkata, rancangan oleh Presiden Donald Trump mengenai tarif keluli dan aluminium boleh membawa kepada kemungkinan perang perdagangan global kerana negara-negara lain, terutama China mungkin bertindak balas.

Menurut mereka, oleh kerana pelabur bimbang bahawa langkah AS akan menjejaskan pertumbuhan global, ekonomi Malaysia dijangka tidak akan dapat mengelak sepenuhnya daripada kemungkinan buruk itu.

Bagaimanapun, kata mereka CPTPP sepatutnya positif untuk Malaysia kerana perjanjian yang disemak semula itu menawarkan lebih banyak kelonggaran kepada negara dan 10 penandatangan lain.

Affin Hwang Capital berkata, dalam jangka pendek, potensi tarif oleh AS akan mewujudkan ketidakpastian mengenai perdagangan dan pengeluaran global, memandangkan dasar-dasar perlindungan perdagangan berkemungkinan akan menjejaskan momentum pertumbuhan.

"Kami percaya momentum pertumbuhan ekonomi global akan terjejas, sebahagiannya disebabkan oleh kesan negatif akibat gangguan terhadap perdagangan global. Pada masa sama, kami juga menjangkakan tiada pasaran baharu muncul dapat mengelak sepenuhnya daripada kelembapan global dan ketidaktentuan pasaran kewangan serta sentimen global terhadap risiko," kata firma itu, hari ini.

  

Affin Hwang berkata, eksport produk keluli dan aluminium Malaysia ke AS menyumbang 1.5 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan ke negara itu dan hanya 0.15 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan negara pada tahun lalu.

AmInvestment Bank Bhd berkata, walaupun Malaysia tidak mengeksport banyak keluli ke AS, implikasi tarif itu mungkin lebih luas kerana ia boleh menambah sehingga 40 juta tan bekalan keluli ke pasaran global.

  

Jumlah dagangan keseluruhan Malaysia melonjak 14.9 peratus kepada RM156.01 bilion tahun ke tahun pada Januari dengan eksport berkembang pada kadar yang lebih pantas, mengatasi jangkaan penganalisis.

Eksport mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding import pada bulan itu, dengan peningkatan 17.9 peratus kepada RM82.86 bilion.

Mengenai CPTPP, Affin Hwang berkata terdapat beberapa kesan yang menggalakkan daripada Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang disemak semula itu.

  

"Dengan penangguhan 20 perkara dalam CPTPP, kami percaya perjanjian TPP yang telah disemak semula akan menjadi fleksibel bagi negara peserta. Sesetengah pemerhati pasaran juga menyatakan bahawa CPTPP mungkin akan lebih diterima oleh orang ramai berbanding garis panduan TPP asal," tambahnya.

  

Affin Hwang berkata, kerajaan Malaysia dan rakan-rakan CPTPPnya akan mempunyai kelonggaran untuk membuat keputusan sendiri, undang-undang dan peraturan dalam bidang seperti penjagaan kesihatan awam, pendidikan awam dan perkhidmatan sosial, manakala tuntutan tidak lagi dibenarkan berhubung kontrak pelaburan dan kelulusan.

  

Ia juga menyatakan bahawa di bawah CPTPP baru, syarikat milik negara Malaysia diberi beberapa kelonggaran yang mana semua rujukan kepada frasa "selepas menandatangani Perjanjian ini" telah ditakrifkan sebagai "selepas tarikh permulaan kuat kuasa Perjanjian ini untuk Malaysia".

Berita Harian X