X
Rabu, 5 April 2017 | 11:15pm

Webe perkenal dua pakej baharu bantu PKS

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melalui penyedia perkhidmatan mobiliti digitalnya memperkenalkan dua pakej baharu, iaitu webemobile biz dan webebroadband biz.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, dengan penyelesaian terbabit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh membebaskan diri daripada pelbagai pelan telefon mudah alih yang terhad dan penyelesaian jalur lebar yang rumit.

TM berkata, webemobile biz menawarkan PKS beberapa pelan mudah alih dengan data, panggilan dan teks tidak terhad manakala webebroadband biz menawarkan jalur lebar mudah alih di mana sahaja perniagaan memerlukannya, tanpa masalah atau yuran tersembunyi.

Katanya, pakej terbabit tidak mempunyai kontrak, mudah didaftar dan pengaktifan perkhidmatan yang pantas.

Kemudahan itu membolehkan perniagaan berada dalam talian dengan cepat, berkesan dan lancar tanpa cabaran tradisional seperti tempoh pemenuhan yang panjang serta caj premium.

Ketua Pegawai Eksekutif webe, Azizi A Hadi, berkata 97 peratus syarikat perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

"Mereka mempunyai pelbagai keperluan dan cabaran yang webe rancang untuk memudahkannya dengan pelbagai tawaran perniagaan kami.

"Webemobile biz dan webebroadband biz adalah berdasarkan pandangan pengguna kami mengenai apa yang pelan telefon mudah alih atau jalur lebar perlu ada.

"Kami telah mengambil pengajaran terbabit dan meningkatkannya khusus untuk perniagaan," katanya.

Azizi berkata, perniagaan perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan, keuntungan, kemampanan dan integrasi dengan komuniti mereka.

"Mereka tidak boleh memikirkan mengenai pengurusan data yang dikongsi, pelbagai pelan telefon mudah alih yang kompleks, bimbang mengenai bagaimana untuk berada dalam talian dan di mana atau bila perlu disambungkan ke Internet.

"Webe menunjukkan kepada pengguna yang mereka tidak perlu bimbang lagi mengenai kontrak, pelan yang rumit serta kuota terhadap data," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X