Rabu, 5 April 2017 | 3:52pm

Kenyataan diambil dari luar konteks - Shabudin

DATUK Shabudin Yahaya (kanan) di serbu pihak media selepas di temubual RTM di Pusat Media, Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
DATUK Shabudin Yahaya (kanan) di serbu pihak media selepas di temubual RTM di Pusat Media, Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mendakwa laporan media yang menunjukkan beliau menyokong perkahwinan antara perogol dan mangsa diambil dari luar konteks.

Bekas Hakim Mahkamah Syariah itu berkata, apa yang beliau tekankan sebenarnya adalah mengenai peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang sebarang perkahwinan dalam usia yang disebutkan.

Bagaimanapun katanya, kes jenayah rogol yang dilakukan itu masih tetap menjadi satu kesalahan jenayah dan terpulang kepada polis dan mahkamah dalam menentukan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan perogol berkenaan.

"Saya amat kecewa dan terkejut dengan cara media massa yang melaporkan perbahasan saya secara tidak tepat seolah-olah menggambarkan saya ini menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan perogol dengan mangsa.

"Semasa saya membahaskan usul bagi menolak usul cadangan pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai untuk mengharamkan perkahwinan bawah 16 tahun, saya menjelaskan perkahwinan dan jenayah adalah dua perkara berbeza.

"Mengikut enakmen Islam, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan ke bawah, hendaklah mendapat kebenaran daripada wali dan mahkamah.

"Bagi lelaki bawah 18 tahun juga perlu mendapat kebenaran mahkamah dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

"Ini bermakna, enakmen Islam tidak beri kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan perkahwinan untuk perempuan di bawah 16 tahun dan lelaki di bawah 18 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shabudin semalam dikritik kerana didakwa menyokong perkahwinan antara perogol dengan mangsa di bawah umur ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, dalam realiti masyarakat, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan rogol oleh undang-undang sebagai 'statutory rape' iaitu atas dasar persetujuan bersama.

Katanya, dalam menyelesaikan masalah itu, keluarga cuba menutup malu dan tidak membuat laporan polis dan akhirnya membuat keputusan untuk mengahwinkan mereka.

"Bagaimanapun perkahwinan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak wali tetapi perlu dapat kebenaran mahkamah syariah dahulu.

"Suka saya tegaskan bahawa tiada apa-apa peruntukan undang-undang malah hukum syarak yang menghalang mereka daripada berkahwin.

"Isu ini sepatutnya dilihat dari sudut positif contohnya mengenai masa depan mangsa itu sendiri terutama bagi kes atas dasar persetujuan bersama. Pada masa sama, perkahwinan ini bukanlah jalan pintu belakang untuk menghalalkan kesalahan rogol," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X