Rabu, 5 April 2017 | 7:39am
GAMBAR fail, pasukan keselamatan Mali menahan dua suspek pada 8 Februari 2017 yang menculik biarawati warga Colombia, Gloria Cecilia Narvaez Argot, 50-an, yang sehingga kini masih gagal dikesan. - Foto AFP

4 dituduh culik biarawati Colombia

BAMAKO: Empat rakyat Mali didakwa semalam atas tuduhan menculik biarawati warga Colombia, Gloria Cecilia Narvaez Argot, 50-an, yang sehingga kini masih gagal dikesan.

Menurut sumber kehakiman kepada AFP, biarawati itu ditahan sekumpulan lelaki bersenjata pada 7 Februari lalu di lokasi beliau bekerja di Karangasso, kawasan perkampungan di selatan Mali, iaitu berhampiran sempadan Burkina Faso.

Menteri Dalam Negeri Mali berkata, pihak berkuasa yakin biarawati itu diculik kumpulan militan yang kemudiannya membawa wanita itu ke kawasan sempadan.

Sumber keselamatan Mali dan Burkina Faso memberitahu AFP pada Februari lalu, operasi mencari sudah diperluaskan ke kawasan sempadan.

Sementara itu, sumber kehakiman semalam berkata, semua suspek yang dituduh adalah warga Mali, termasuk tiga daripadanya adalah pekerja gereja di lokasi biarawati itu bertugas.

"Mereka dituduh melakukan penculikan dan dikaitkan dengan aktiviti keganasan," kata sumber itu.

Menurut satu lagi sumber, keempat-empat suspek didakwa atas tuduhan konspirasi dan memiliki senjata secara haram.

Semua suspek dipercayai ditahan di Bamako, tetapi sumber tidak mengesahkan lokasi dan bila semua tertuduh ditahan.

AFP

Berita Harian X