Selasa, 4 April 2017 | 12:59pm

Pegawai PERHILITAN dituduh buat tuntutan palsu

Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abu Zahrim Ismail 44, dibawa ke mahkamah sesyen selepas dituduh melakukan tuntutan palsu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Kuantan. -Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Seorang Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, kerana membuat tuntutan palsu pembelian beg bernilai RM23,400 pada November 2013.

Abu Zahrim Ismail, 44, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof atas kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh pada 28 November 2013 di pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut, dituduh dengan niat memperdaya Ketua Pengarah PERHILITAN membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise.

Tuntutan palsu itu membabitkan pembelian 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit drypack 30 liter.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah.

Hakim Habibah menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X