Isnin, 3 April 2017 | 9:24pm

Bahas 8 jam, akta belum lulus

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 masih tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat, walaupun lebih lapan jam dibahaskan, hari ini.

RUU itu sudah diluluskan di peringkat Dasar, namun pada peringkat Jawatankuasa, beberapa Ahli Parlimen dari pembangkang bangun mempertikaikan bahagian teknikal dalam RUU itu, termasuk definisi umur dan perkataan 'mangsa'.

Susulan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kemudian mengumumkan persidangan ditangguhkan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, antara pindaan dibuat adalah keterangan diberikan kanak-kanak kompeten berdasarkan keupayaan memberi keterangan yang tepat mengenai sesuatu fakta.

Sebelum ini, Seksyen 118 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 8 Akta Sumpah Ikrar menyatakan bahawa kanak-kanak bukan saksi yang kompeten untuk memberikan keterangan.

Azalina berkata, mahkamah khas untuk kanak-kanak akan ditubuhkan di negeri tertentu yang akan diputuskan kemudian apabila akta berkenaan dikuatkuasakan.

"Saya akan berjumpa dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dalam tempoh terdekat untuk membincangkan penubuhan mahkamah itu."

Dalam pada itu, Azalina berkata pindaan RUU itu meliputi tujuh elemen termasuk kesalahan membabitkan pornografi kanak-kanak, kesalahan berhubungan pengantunan kanak-kanak (child grooming) dan kesalahan berhubungan dengan amang seksual (sexual assault) fizikal dan bukan fizikal.

Selain itu, hukuman tambahan turut diperuntukkan terhadap orang yang mempunyai perhubungan amanah dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual itu serta peruntukan mencakupi kebolehpercayaan saksi kanak-kanak agar keterangan mereka diberikan pertimbangan sewajarnya.

Berita Harian X