Isnin, 3 April 2017 | 12:57pm

Hampir 1,000 ditahan mengikut SOSMA - TPM


SEJAK 31 Julai 2012 sehingga 22 Februari 2017, seramai 979 orang ditahan mengikut SOSMA.- Foto fail Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Seramai 979 orang ditahan pihak berkuasa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012 sejak ahir Julai 2012 sehingga akhir Februari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan berkenaan diambil bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara dapat dipelihara.

"Sejak 31 Julai 2012 sehingga 22 Februari 2017, seramai 979 orang ditahan di bawah akta berkenaan," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS -Kubang Kerian), hari ini.

Ahmad Baihaki bertanya jumlah tahanan dibuat mengikut akta terbabit dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh tahanan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 43 warga asing diambil tindakan mengikut SOSMA kerana disyaki terbabit dengan elemen kumpulan Daesh.

Katanya, seramai lapan orang didakwa iaitu masing-masing tiga mengikut Kanun Keseksaan, seorang mengikut Akta Pendaftaran, Akta Imigresen (empat) manakala 27 diusir, lima orang masih dalam siasatan manakala tiga lagi dibebaskan.

"Sehingga kini tidak ada warga asing dihantar menjalani program deradikalisasi kerana kebiasaannya mereka dihantar pulang selepas siasatan selesai," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang bertanya berapa ramai warga asing dikenakan tindakan mengikut SOSMA.

Berita Harian X